DUA finalis Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan dan Kelantan akan sekali lagi membuat perhitungan di pentas final apabila kedua-dua pasukan berkenaan berjaya menewaskan lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir kedua malam ini.
Juara bertahan, Negeri Sembilan mara selepas menewaskan tuan rumah, Johor FC 2-0 di Pasir Gudang untuk mara dengan agregat 2-1 manakala Kelantan menewaskan Kedah 1-0 selepas perlawanan pertama di Alor Setar berakhir dengan keputusan tanpa jaringan.
Kejayaan Kelantan memberi berpeluang buat mereka membalas dendam kekalahan 1-3 kepada Negeri Sembilan pada aksi final musim lalu apabila menyingkirkan Kedah dengan agregat 1-0.
Selepas seri tanpa jaringan di Alor Setar, Kelantan ternyata memiliki kelebihan apabila tampil di hadapan ribuan penyokong mereka di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV.
Sebaik wisel permulaan dibunyikan, Kelantan terus memulakan asakan untuk mencari gol awal dalam tempoh 20 minit pertama.
Bagaimanapun, benteng Kedah yang diterajui penjaga gol, Helmi Eliza Alias bijak menafikan setiap peluang yang dicipta Kelantan sepanjang babak pertama.
Babak kedua menyaksikan Kedah memperoleh rentak dan berjaya mengimbangi permainan dengan melakukan beberapa asakan ke pintu gol Kelantan.
Bagaimanapun, gol yang dinantikan peminat Kelantan akhirnya hadir pada minit ke-79 hasil jaringan cantik Norshahrul Idlan Talaha. [LIHAT VIDEO]
Kejayaan mara ke pentas final Piala Malaysia pastinya memberikan keceriaan buat Kelantan selepas mereka ‘kehilangan’ jurulatih, B Sathianathan.
Terdahulu, Sathianathan digantung selama enam bulan serta denda RM2,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ia berpunca daripada kenyataan Sathianathan yang melahirkan rasa tidak puas hati apabila aksi Liga Super antara Perlis dan Terengganu yang sepatutnya berlangsung di Stadium Utama Negeri, Kangar terpaksa diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Sementara itu di Stadium JCorp, Pasir Gudang Pada Negeri Sembilan yang tampil selaku penyandang juara mencipta kemenangan 2-0 untuk mengecewakan hasrat pasukan tuan rumah mara ke final.
Mohd Shukor Adan meledak gol pembukaan Negeri Sembilan pada minit ke-36.
Shahurain Abu Samah melengkapkan gol kedua Negeri Sembilan menerusi sepakan penalti pada minit ke-61.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Hoben Jang Hoben mara ke final dengan agregat 2-1 selepas mereka tewas 0-1 pada aksi separuh akhir pertama di Paroi Rabu lalu.
Final Piala Malaysia dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.
Tags: Final 2010, Johor FC, Kedah, Kelantan, Kelantan-Kedah, Negeri Sembilan, Negeri Sembilan vs Johor FC, Piala Malaysia 2010, Separuh Akhir