TIADA apa lagi yang mampu dilakukan jurulatih K Rajagobal selepas kehilangan seorang demi seorang pemain angkara kecederaan dan kad merah, menjelang pertemuan pusingan kedua menentang Iran di Stadium Yuexiu, petang ini.
Selepas melihat Norhafiz Zamani Misbah dan Fakri Saarani mengalami kecederaan teruk, tiga pemain tonggak – Safiq Rahim, Mahalli Jasuli dan S Kunanlan – pula menerima kad merah ketika bertemu China dalam saingan terakhir peringkat Kumpulan A, kelmarin.
Dan selepas perlawanan itu, dua pertahanan Mohamad Muslim Ahmad dan Mohamad Fadli Shas serta pemain tengah S Chanturu pula didapati mengalami cedera agak serius ketika terpaksa memikul tugas berat lapan sepasukan menentang China.
Ini bermakna Rajagobal kehilangan terus khidmat lima pemain dan terpaksa menunggu sehingga ke saat-saat akhir untuk memastikan tiga pemain cedera itu boleh diturunkan untuk berdepan pasukan handalan Iran.
“Kita lihatlah apa seterusnya tapi kita tetap akan bermain dengan pemain yang masih ada. Saya arahkan pemain untuk bersikap tenang, jangan rasa tertekan dan menikmati permainan.
“Bagi saya, mereka masih muda dan inilah masa terbaik untuk mengutip pengalaman. Saya mahu mereka terus bermain dengan baik,” kata Rajagobal yang sempat berseloroh mahu jawatankuasa pertandingan Sukan Asia membenarkan dia bermain kerana kehilangan ramai pemain sejak perlawanan pertama kumpulan menentang Kyrgyzstan.
Menurutnya, tiga pemain dalam senarai kecederaan baru itu akan diawasi fisioterapis pasukan sebelum dia mengumumkan kesebelasan utama untuk bertemu Iran di Stadium Yuexiu, jam 4 petang ini.
Tags: Iran, Malaysia, Malaysia vs Iran, Sukan Asia 2010