JUARA Piala FA 2010, Negeri Sembilan terus dirundung malang apabila menerima kekalahan kedua berturut-turut dalam tempoh seminggu, kali ini dibenam Perak 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, semalam.
Safuan Adli Shaari menjulang semula tuan rumah dalam saingan liga musim ini, apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-10 dan ke-73, pada perlawanan yang berlangsung sengit.
Sebelum Perak meraih jaringan kemenangan, Negeri Sembilan cuba bangkit menerusi jaringan penyamaan Shahurain Abu Samah pada minit ke-52.
Namun, berbekalkan semangat aksi di tempat sendiri, Perak bukan sahaja mengekang jentera serangan Negeri Sembilan, malah menjaringkan gol kemenangan, sekali lagi menerusi Safuan, untuk memastikan tiga mata penuh skuad Seladang.
Terengganu pula berpesta gol apabila membelasah Johor 6-3 di padang lawan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru.
Kemenangan besar itu sekali gus membolehkan pasukan pantai Timur itu merampas semula tangga kedua liga dari Johor FC, yang kecundang kepada T-Team di Kuala Terengganu.
Ashari Samsudin menyumbat empat gol pasukan pelawat pada minit ke-13, ke-28, ke-55 dan ke-68.
Hariri Md. Safii dan Wan Mohd. Aliff Jasmi melengkapkan kemenangan bergaya Terengganu menerusi jaringan pada minit ke-53 dan ke-90.
Skuad Jengking tetap mempamer semangat melawan apabila membalas jaringan menerusi Mohd. Irfan Abd. Ghani (minit ke-20 dan ke-86) serta Mohd. Shoufiq Khusaini (m-36).
Jaringan tunggal pemain T-Team, Abdul Hadi Yahya pada minit ke-42 pula menghampakan Johor FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Kekalahan tersebut sekali gus menyekat hasrat membara Johor FC untuk menyaingi pendahulu Liga Super, Selangor, yang tidak beraksi semalam.
Kelantan pula terus menemui rentak kemenangan apabila mudah membenam Kuala Lumpur 3-0.
Tiga mata yang diraih di padang sendiri, sekali gus menyaksikan skuad B. Sathianathan kini berkongsi 22 mata dengan Johor FC.
Kelantan menang hasil ledakan dua jaringan Norshahrul Idlan Talaha (m-19 dan m-23) serta Badri Radzi (m-48).
Perlis, yang masih cuba mencari keserasian dengan jurulatih baru, Yunus Aliff, mula membuktikan mereka kian bangkit apabila menumpaskan Pahang 4-0.
Gol Perlis dijaringkan menerusi Ahmad Fakri Saarani (m-47), di samping dua gol Ahmad Aminuddin (m-51 dan m-81) serta Syazwan Zainon, pada minit terakhir di Stadium Utama Negeri, Kangar.
Kemenangan Singa Utara itu membawa pasukan itu merampas kedudukan Kedah.
Kedah terkulai 2-3 di padang sendiri kepada KL PLUS di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Pelawat meraih tiga mata penuh selepas memperoleh gol hasil jaringan Badrul Hisani (m-24) dan Fadzli Saari (m-31 dan m-76).
Tuan rumah cuma sempat beroleh dua gol menerusi Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala FA 2010, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-42 dan ke-79. — Utusan Malaysia
Tags: Liga Super, Negeri Sembilan, Perak, Perak-N Sembilan
Hehehe…Camne ni campionnn..tp aku selaku penyokokong red giants kdg2 sedih gak tgk pskn tmptn yg menang kalah x tentu mase nih…kalo bleh top 5/top 3 ke leh bg persaingan kt pasukan dlm liga, baru meriah bola sepak tempatan
bagus pandangan bro tq