Skuad Roberto Mancini mara ke Final Piala FA England
HARAPAN Manchester United untuk merangkul gelaran treble musim ini dihampakan Manchester City apabila pasukan kendalian Roberto Mancini itu menewaskan Red Devil 1-0 dalam aksi separuh akhir Piala FA England di Stadium Wembley awal pagi tadi.
Jaringan tunggal Yaya Toure pada minit ke-52 sudah cukup buat City melangkah ke perlawanan akhir Piala FA dan akan bertemu pemenang satu lagi aksi separuh akhir malam ini antara Bolton dan Stoke City.
Toure berjaya menewaskan Edwin van der Sar selepas memanfaatkan kesilapan pemain tengah United, Michael Carrick.
Kehampaan United dalam perlawanan itu bertambah parah apabila Paul Scholes diperintah keluar padang oleh pengadil sejurus selepas dia dipersalahkan kerana menerjah kuat pertahanan City, Pablo Zabaleta di minit ke-72.
Keputusan itu sekaligus menyempitkan peluang United untuk mencari gol penyamaan dan terpaksa menerima hakikat tersingkir di peringkat separuh akhir.
United yang meneruskan perlawanan dengan 10 pemain dilihat terus melancarkan serangan bertali arus dan kerap mencipta beberapa peluang, namun ia masih tidak cukup untuk menembusi gawang City hingga ke tiupan wisel penamat.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris (United) yang gagal beraksi cemerlang dalam perlawanan itu masih mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuannya terutama dalam saingan Liga Juara Juara.
Main topics: Liga Perdana Inggeris
Sub topics: Manchester City, Manchester City vs Manchester United, Manchester United, Piala FA England