CARLOS Tevez menamatkan permulaan cemerlang Chelsea musim ini, selepas jaringan tunggalnya memberikan Manchester City kemenangan 1-0 ke atas penyandang juara Liga Perdana England itu, semalam.

Chelsea, yang memenangi semua lima perlawanan awal, kalah buat kali pertama setakat ini, hasil jaringan Tevez pada minit ke-59.

Jaringan kemenangan itu bermula selepas dia membawa bola bersendirian dari garisan tengah, tanpa dicabar pemain lawan.

Selepas mengambil keputusan tidak melakukan hantaran kepada David Silva yang tidak dikawal, Tevez memperdaya Ashley Cole, dengan merembat leret di celah-celah kaki pertahanan lawan dari luar petak penalti menewaskan penjaga gol, Petr Cech.

Sebelum itu, Chelsea hampir mendahului pada minit ke-27, apabila hantaran silang Florent Malouda ditanduk Alex, sebelum disambung oleh Branislav Ivanovic, juga melalui tandukan tetapi bola terkena palang, ketika percubaan susulan pemain Serbia itu mudah diselamatkan Joe Hart.

Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti mengkritik aksi pasukannya dan enggan merungut dengan kekalahan tersebut, selepas mereka tersingkir dari Piala Liga Rabu lalu, apabila kalah kepada Newcastle.

“Kami tidak bermain seperti yang diharapkan, kami tidak mampu menggunakan kualiti yang ada, ini menjadikan keadaan sangat rumit.

“City bermain baik di bahagian tengah dan mereka sentiasa mematahkan serangan kami, mereka berhak menang,” katanya.

Aksi semalam merupakan kali kedua Chelsea dibolosi setakat ini dan terus hampa untuk membalas jaringan Tevez apabila Didier Drogba dikeluarkan pada minit ke-75.

“Kami menutup setiap ruang yang mereka peroleh dan apabila kami mempunyai peluang, kami menunjukkan permainan bola sepak sebenar,” kata pengurus City, Roberto Mancini.

One Response to “Tevez calar rekod Chelsea”

Leave a Reply