Kapten Chelsea, John Terry longlai meninggalkan padang selepas menerima dua kad kuning.

SELEPAS mengecewakan salah satu pencabar utama EPL, Arsenal minggu lalu, Tottenham Hotspurs sekali lagi muncul sebagai watak pemusnah atau giant killer apabila mengejutkan pendahulu liga, Chelsea 2-1 di White Hart Lane, awal pagi tadi.

Kemenangan Spurs kini membuka ruang lebih luas buat Manchester United untuk menyaingi The Blues dalam buruan gelaran EPL apabila skuad Red Devils memenangi perlawanan penting dalam aksi Manchester Derby malam tadi.

Di Stadium City of Manchester, United menewaskan Manchester City 1-0 hasil jaringan tunggal tonggak veterannya, Paul Scholes hanya beberapa saat sebelum wisel penamat ditiupkan.

Ketika perlawanan bakal berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, Scholes menanduk masuk bola hantaran Patrice Evra untuk mengecewakan puluhan ribu penyokong City di Eastlands.

Kemenangan dramatik itu tambah manis buat penyokong Red Devils apabila kesudahan perlawanan di White Hart Lane menyaksikan Chelsea gagal menyerap tekanan sekali gus meninggalkan jurang yang sangat kecil sekali pun masih kekal mendahului liga.

Dengan hanya kelebihan satu mata ketika saingan EPL berbaki tiga perlawanan, segala kemungkinan bakal terjadi selepas ini sama ada, anak buah Carlo Ancelotti bakal berputih mata sekali lagi musim ini atau Red Devils terpaksa menyerahkan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

Leave a Reply