MANCHESTER United memulakan kempen pertama daripada enam perlawanan jelajah pramusim sekadar menang tipis 1-0 ke atas kelab pertengahan Liga Afrika Selatan, AmaZulu di Stadium Moses Mabhida, semalam.

Penyerang kelahiran Itali, Federico Macheda menjaringkan gol kemenangan United pada pertengahan babak pertama. Mereka berpeluang menggandakan kedudukan tetapi rembatan pemain gantian, Davide Petrucci melepasi palang pintu gol.

Perlawanan lebih sengit daripada yang disangkakan malah 50,000 penonton yang membanjiri Stadium Moses Mabhida mula menjangkakan AmaZulu mampu menewaskan bekas juara Eropah itu yang hadir tanpa beberapa tonggak utama termasuk Wayne Rooney.

Penonton juga memberi penghormatan kepada ikon politik, Nelson Mandela, Presiden Afrika Selatan pertama yang dipilih secara demokratik apabila mereka menyanyikan lagu ulang tahunnya yang ke-94 sebelum perlawanan.

“Pemain saya kepenatan pada babak dua. Saya gembira dengan keputusan ini. Kemenangan United juga adalah hadiah istimewa Nelson Mandela sempena hari jadi beliau.

“Saya memberi peluang kepada beberapa muda hari ini dan kami mempunyai harapan yang tinggi kepada dua atau tiga daripada mereka. Jesse Lingard mempunyai potensi besar dan Scott Wootton pula begitu memberangsangkan di benteng pertahanan,” kata pengurus United, Alex Ferguson.

United meletakkan bintang baru dari Jepun, Shinji Kagawa di bangku simpanan ketika dia mencuba kombinasi campuran, pemain berpengalaman dan muka baru. — Utusan

Leave a Reply