Para peminat Arsenal di Malaysia bukan sahaja kempunan untuk melihat aksi ketua pasukan, Robin van Persie pada aksi persahabatan menentang Harimau Malaya, tetapi juga dua lagi pembelian terbaru Gunners, Lukas Podolski dan Olivier Giroud yang tidak menyertai Jelajah Asia 2012.
Beberapa pemain utama kelab itu seperti Per Mertesacker, Tomas Rosicky, Bacary Sagna dan Laurent Koscileny juga tiada dalam senarai 24 pemain yang diumumkan dalam laman web rasmi Arsenal, semalam.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger memberi ruang kepada pemain muda seperti Chuks Aneke, Nico Yennaris, Benik Afobe dan Kyle Bartley.
Ketiadaan Podolski dan Giroud pasti menghampakan peminat Arsenal yang amat mengharapkan kehadiran dua bintang baru itu ke Kuala Lumpur untuk membuat kemunculan sulung bersama Gunners.
Wenger memperjelaskan tindakan tidak membawa pemain berkenaan dengan alasan penglibatan mereka dalam Euro 2012 baru-baru ini, menyebabkan mereka memerlukan masa mendapatkan kecergasan.
“Sebahagian daripada mereka tidak dapat datang kerana belum berada pada tahap kecergasan yang diperlukan untuk beraksi.
“Dua pemain Jerman (Podolski dan Mertesacker) baru sahaja balik dari latihan Sabtu lalu.
“Manakala pemain lain yang masih belum berada di tahap kecergasan yang dimahukan adalah seperti Van Persie, Koscielny dan Giroud, mereka tidak bersedia untuk bermain.
“Theo Walcott dan Alex Oxlade-Chamberlain akan menyertai jelajah ini bersama-sama Alex Song, Abou Diaby, Thomas Vermaelen, Andre Santos, Kieran Gibbs, Wojciech Szczesny dan Gervinho jadi kami mempunyai skuad yang kuat, “katanya.