Arsenal nyaris disingkir West Ham

January 5th 2010 | Posted by Berita EPL

ARSENAL mempamer kebangkitan dramatik pada saat akhir untuk menewaskan West Ham 2-1 dan layak ke pusingan keempat Piala FA, semalam.

Pasukan bimbingan Arsene Wenger itu hampir sahaja ditunjukkan jalan keluar apabila ketinggalan sehingga pada 12 minit terakhir perlawanan di Upton Park apabila Alessandro Diamanti memberikan jaringan pendahuluan buat West Ham.

Namun, Gunners menemui rentak sebenar dan menghasilkan jaringan Aaron Ramsey, sebelum Eduardo melengkapkan hari gemilang Arsenal yang meledak gol menerusi tandukan.

Kekalahan itu cukup perit untuk diterima oleh West Ham yang berjaya mendahului perlawanan tetapi gagal mempertahankan kelebihan satu gol, namun akhirnya terpaksa menyerang kalah di saat akhir.

Kemenangan ke atas Bolton dalam Liga Perdana selepas ini akan membawa Arsenal hanya satu mata di belakang pendahulu Chelsea.

Pada perlawanan kelmarin, Wenger membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Fran Merida, Jack Wilshere, Carlos Vela, Mikael Silvestre dan Lukasz Fabianski.

Berbeza dengan Wenger, pengurus West Ham, Gianfranco Zola tiada pilihan lain selain terpaksa menggunakan pemain yang sedia ada.

Scott Parker dan Carlton Cole masih mengalami kecederaan sementara penyerang Mexico, Guillermo Franco digantung perlawanan.

Arsenal memulakan permainan dengan cemerlang dan penjaga gol West Ham, Robert Green diuji seawal permainan oleh Eduardo melalui rembatan leret kencang hasil kesilapan James Tomkins yang cuai mengawal penguasaan bola.

Namun, penguasaan Arsenal ternyata hanya seketika apabila pasukan kendalian Zola berjaya menafikan peluang Arsenal mengawal permainan dengan mengambil alih kawalan di bahagian tengah.

Pemain tengah West Ham, Diamanti merayu memberikan sepakan penalti apabila sepakan kencangnya terkena lengan Thomas Vermaelen namun pengadil, Mark Clattenburg menganggap bola itu bukan disengajakan.

Junior Stanislas hampir memberikan gol pertama kepada Hammers dengan sepakan percuma yang cantik, namun bola keluar di sisi Fabianski sebelum sepakan lencong Diamanti ditangkap kemas oleh penjaga gol dari Poland itu.

Vermaelen sekadar membuat sepakan meliar selepas Green menepis keluar bola silang dan akhirnya Hammers mengejutkan Arsenal yang bermain tidak menentu pada separuh masa pertama.

Valon Behrami bermain cukup cemerlang mempertahankan kubu West Ham dan melakukan hantaran kepada Diamanti yang bergerak bebas ke arah pintu gol Arsenal, sebelum melakukan sepakan leret kencang untuk menewaskan Fabianski yang sekadar menepis lemah percubaan berkenaan.

Anak buah Zola yang sedang bergelut dengn prestasi tidak menentu dan berada di atas zon penyingkiran, tetapi dapat mengimbangi permainan Arsenal.

Wenger yang terdesak terpaksa melakukan perubahan permainan dengan memasukkan Samir Nasri dan Abou Diaby pada 25 minit terakhir permainan.

Pertukaran itu memberikan pulangan kepada Wenger. Kehadiran Diaby ternyata memberikan impak yang besar kepada Arsenal apabila menyambut hantaran belakang dari Eduardo dan melakukan percubaan ke arah pintu gol West Ham.

Ketangkasan Green menghampakan Arsenal seketika dan turut cemerlang menafikan bola rembatan Alex Song hasil daripada bola muntah.

Akhirnya, saat yang dinantikan Arsenal menjelma apabila pertahanan West Ham yang begitu tertekan gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, membolehkan Song dan Vela berusaha keras melorongkan bola kepada Ramsey sebelum melakukan jaringan cantik ke pintu gol sebelah kanan West Ham dan menewaskan Green.

Anak buah Wenger meneruskan momentum selepas gol tersebut dan Eduardo muncul wira Gunners untuk memastikan tiada perlawanan ulangan dengan melakukan tandukan cantik bagi menyudahkan bola silang dari sebelah kiri melalui Vela, pada permainan yang berbaki hanya tujuh minit.

Related Posts

Dua gol Drogba bantu Chelsea tewaskan Arsenal

HASRAT Arsenal untuk mencabar kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris tidak kesampaian apabila skuad bimbingan Arsene Wenger tewas 0-2 di tangan musuh ketat, Chelsea di Stamford Bridge malam tadi. Penyerang Ivory Coast, Didier Drogba menjaringkan kedua-dua gol tuan rumah pada babak pertama, sekali gus memastikan kemenangan penting buat The [...]

Keputusan seri sekat harapan Arsenal pintas MU

ARSENAL melepaskan peluang memintas Manchester United apabila terpaksa berhempas pulas sebelum akhirnya lega dapat berkongsi satu mata dengan Everton di Stadium Emirates, awal pagi tadi. Jaringan Tomas Rosicky pada minit terakhir permainan menyelamatkan Arsenal daripada tumpas di gelanggang sendiri apabila berjaya mengikat Everton 2-2 dalam aksi [...]

Arsenal 2 Everton 2: Rosicky penyelamat

PEMAIN gantian, Tomas Rosicky menjaringkan gol pada minit ke-92 untuk menyelamatkan Arsenal daripada tanpa sebarang mata di tempat sendiri selepas mengikat Everton 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, awal pagi ini. Terdahulu Arsenal ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Leon Osman pada minit ke-12 sebelum Denilson mengikat [...]

Kebangkitan Arsenal ancaman buat Chelsea, Manchester

LIMA minggu selepas harapan bersaing untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris seakan musnah apabila tewas 3-0 kepada Chelsea di gelanggang sendiri, Arsenal kini mampu bangkit semula dengan merapatkan jurang kepada hanya satu mata dengan kelebihan satu permainan di tangan. Skuad kendalian Arsene Wenger sebelum ini ketinggalan 11 mata di belakang [...]

Leave a Reply:

Name (required):
Mail (will not be published) (required):
Website:
Comment (required):
XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>