GOL tunggal Nani pada minit ke-28 sudah cukup buat Manchester United memastikan pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris berterusan hingga ke penghujung musim selepas mencatat kemenangan sukar 1-0 ke atas Sunderland, awal pagi ini.
Pemain antarabangsa Portugal itu merembat kencang dengan kaki kanannya selepas menerima hantaran daripada Darren Fletcher bagi menewaskan penjaga gol tuan rumah, Craig Gordon.
Skuad kendalian Alex Ferguson itu kekal di tangga kedua dengan hanya dipisahkan satu mata daripada pendahulu liga, Chelsea yang terdahulu mencatat kemenangan 2-0 ke atas Liverpool di Anfield.
Chelsea perlu memastikan tiga mata penuh dalam aksi menentang Wigan minggu depan untuk bergelar juara baru EPL selepas tiga musim. Manakala Manchester United juga tidak boleh mencicirkan sebarang mata pada pertemuan menentang Stoke City nanti sambil berharap Chelsea membuat kesilapan bagi mengekalkan mahkota EPL yang mereka menangi musim lalu.