NASIB Liverpool terus malang apabila kini menghuni tangga ketiga tercorot Liga Perdana Inggeris selepas tewas buat kali ketiga musim ini kepada pendatang baru, Blackpool 1-2 di tempat sendiri malam tadi. [LIHAT CARTA EPL]
Kedudukan itu sekali gus menambah derita skuad bimbingan Roy Hodgson yang kini hanya mencatat satu kemenangan dan tiga seri selepas mengharungi tujuh perlawanan setakat ini.
Perebutan takhta liga pula makin rancak dengan pasukan berbelanja besar, Manchester City menang 2-1 ke atas Newcastle untuk merampas tangga kedua liga daripada Arsenal yang tewas 0-2 kepada Chelsea.
Pemain sayap England, Adam Johnson yang dimasukkan dari bangku simpanan menjaringkan gol kemenangan Manchester City menerusi jaringan sudut sukar pada minit ke-75.
Jaringan penalti Carlos Tevez pada minit ke-18 dipadamkan Newcastle yang menyamakan kedudukan pada minit ke-24 oleh Jonas Gutierrez dari jarak dekat, namun pelawat tertekan sejak awal selepas Hatem Ben Arfa terpaksa diusung keluar seawal minit ketiga hasil rempuhan keras Nigel de Jong.
Ini bermakna City (14 mata) makin menghampiri pendahulu liga, Chelsea (18 mata) apabila dua pasukan teratas itu kini hanya dipisahkan dengan empat mata sahaja selepas mengharungi tujuh perlawanan musim ini.
Manchester United pula di tangga ketiga dengan 13 mata diikuti Arsenal 11 mata.