SIR Alex Ferguson mengarah semua bintang Manchester United bimbingannya bahawa mereka perlu bersedia mengambil kesempatan seandainya Wigan mengejutkan pendahulu, Chelsea pada hari terakhir dramatik musim Liga Perdana Inggeris.
Pasukan Ferguson melayan Stoke di Old Trafford dan pasukan bawahan, Wigan berkunjung ke Stamford Bridge, malam ini dengan hanya kemenangan buat United berserta seri atau kemenangan buat Latics di Chelsea, memadai United untuk mengekalkan gelaran buat musim keempat berturut-turut.
United tidak asing kepada drama hari terakhir dengan mereka berada dalam situasi itu empat kali sepanjang bimbingan Ferguson dengan mencapai kejayaan tiga kali.
Ferguson percaya pengalaman pemainnya dalam situasi pertaruhan besar seharusnya menjamin mereka akan menewaskan Stoke dan dia mengharapkan Wigan akan berusaha bersungguh-sungguh menentang Chelsea.
“Saya memiliki keyakinan Wigan akan melakukan yang terbaik,” kata Ferguson. “Saya tidak bimbang. Saya tahu mereka akan berusaha.
“Kami pernah berada pada kedudukan ini. Ini adalah kali kelima ketika memasuki perlawanan terakhir (penentuan liga) dan kami hanya mampu apa yang diharapkan. Kami tidak menjangkakan apa-apa bantuan dari Chelsea.
“Jika dilihat dari sudut itu, ia membantu kami kerana kami dapat bermain dengan gaya yang kami mahu seperti yang kami lakukan di Sunderland, Ahad lalu.
“Kami mengetahui keputusan (Chelsea) sebelumnya tetapi pemain beraksi dengan hebat, mereka menampilkan aksi sebenar di atas padang dan menikmati perlawanan itu dan seharusnya menang dengan lebih selesa.
“Terdapat tekanan ke atas kami berdua, kerana kedua-dua perlu menang tetapi saya berpuas hati dengan cara kami menghadapi perlawanan-perlawanan terakhir.