DIMITAR Berbatov bukanlah penyerang yang popular di kalangan peminat Manchester United.
NAMUN jaringan akrobatik yang dilakukan Berbatov hujung minggu lalu ketika menewaskan Liverpool 3-2 sudah tentu akan diingati sampai bila-bila tatkala penyerang Manchester United itu sering dikecam musim lalu.
Pemenang anugerah pemain bola sepak terbaik Bulgaria sebanyak enam kali itu memberi isyarat awal bahawa dia tidak lagi sesuai untuk dilabelkan sebagai penyerang tidak mempunyai fungsi selepas menjaringkan tujuh gol setakat ini dalam enam perlawanan bagi semua kejohanan.
Berbatov atau nama penuhnya Dimitar Ivanov Berbatov terkenal dengan gaya kemahiran mengawal bola yang tersendiri yang akan memperoleh pujian dan kadangkala dilabel sebagai ‘pemalas’.
Bagaimanapun musim 2010/11 ini terdapat sedikit sinar buat Berbatov dengan menjadi antara penjaring gol ketika United menewaskan Chelsea di Perisai Komuniti, seterusnya dia diletakkan dalam kesebelasan utama tatkala penyerang harapan, Wayne Rooney masih tercari-cari rentak.
Pengurus United sendiri, Alex Ferguson percaya Berbatov sudah bersedia untuk mendominasi Liga Perdana England, selepas penyerang Bulgaria itu meledak hatrik menewaskan Liverpool, dalam perlawanan klasik tersebut hujung minggu lalu.
Gol menakjubkan
Setelah diselar kerana perpindahannya bernilai 30 juta pound (RM145 juta) dari Spurs pada 2008 tidak berbaloi, Berbatov membalas kepercayaan Ferguson dengan menjaringkan gol menakjubkan dalam kemenangan 3-2 di Old Trafford.
Ketika praperlawanan, Ferguson memberi amaran kepada Berbatov bahawa kempen musim ini sangat besar buatnya dan pemain yang memegang rekod perpindahan termahal itu akhirnya memberi reaksi yang positif.
“Jaringan kedua memang tidak dijangkakan, ia percubaan mengejut. Tidak ramai yang melakukan percubaan seperti itu berakhir dengan bola masuk ke dalam gawang. Kami pernah melihatnya dan ia berlaku sekali lagi, hari ini dia berjaya melakukannya.
“Kami lihat Dimitar mula percaya kepada dirinya sendiri. Banyak kritikan dilemparkan kepadanya musim lepas, ia berlaku terhadap pemain yang menyertai United dengan nilai perpindahan yang tinggi dan mereka tidak melakukan hatrik setiap perlawanan,” kata Ferguson.
Bapa Berbatov, Ivan merupakan pemain bola sepak profesional dengan mewakili pasukan tempatan Pirin Blagoevgrad dan ibunya, Margarita, adalah pemain bola balik profesional.
Ketika di zaman remaja, Berbatov menyokong pasukan AC Milan dan membayangkan dirinya sebagai Marco van Basten, sehinggalah Euro 1996 di England, pada usia 15 tahun dia mempunyai idola baru, Alan Shearer yang mewakili Newcastle United.
Ketaksuban Berbatov terhadap Newcastle menyaksikan dia tidur dengan memakai kemeja-T pasukan tersebut dan ibunya memberitahu impian anaknya itu pada suatu hari nanti ialah mewakili pasukan Newcastle.
Berbatov setia bersama United
Berbatov dikritik oleh sebilangan penyokong musim lalu selepas jumlah jaringan yang disumbangkannya amat mengecewakan, ia menyebabkan desas-desus bahawa dia akan meninggalkan United pada pasaran perpindahan awal musim selepas dua tahun beraksi di Old Trafford.
Spekulasi tersebut disangkal oleh Ferguson dan sehingga ke hari ini Berbatov masih setia serta semakin selesa bersama United dengan aksi yang lemah-gemalai tetapi cukup untuk mengelirukan pemain lawan.
Berbatov juga pernah menjadi ketua pasukan Bulgaria dari 2008 hingga 2010 mengambil tugas daripada Stiliyan Petrov pada 2006.
Pada 13 Mei tahun ini, Berbatov mengumumkan persaraan di arena antarabangsa, berikutan kecewa dengan kritikan yang dilemparkan kepadanya, terarah kepada kebimbangan peribadi.
Katanya, keputusan yang dilakukan itu sangat sukar tetapi kadangkala keputusan yang sukar perlu dilakukan.