Jurulatih Korea, Jang Jung bertarung dengan masa bagi memperbaiki kerapuhan benteng pertahanan Perak menjelang aksi Piala Malaysia pada 22 Ogos akan datang.

Walaupun sudah beraksi dalam tiga perlawanan tetapi benteng pertahanan Perak masih goyah dan mudah dibolosi pihak lawan.

Anak buah Jang Jung telah menjaringkan 10 gol dalam tiga aksi persahabatan tetapi gawangnya dibolosi tujuh kali.

Jang Jung hanya mempunyai masa lapan hari bagi membentuk gandingan mantap sebelum sepak mula dijalankan.

Perak berjaya mencatat dua kemenangan dalam perlawanan persahabatannya, menumpaskan juara Liga Perdana, ATM 4-3 di Selayang pada 14 Ogos dan T-Team 3-1 di Shah Alam, 11 Ogos lalu.

Sebelum itu, anak buah Jang Jung mencatat keputusan seri 3-3 semasa menentang Kedah di Alor Setar pada 7 Ogos lalu.

Pengurus Pasukan, Khairul Azwan Harun gembira dengan pencapaian yang dipamerkan oleh pemain dalam ketiga-ketiga perlawanan tersebut.

Katanya, corak latihan dan strategi yang digunakan oleh Jang Jung berjaya diserap oleh pemain.

“Benteng pertahanan Perak masih dalam pembentukan dengan kehadiran dua pemain dari Sabah,” jelas Azwan.

Sebelum ini, Perak mengambil dua pertahanan Sabah, Mohd Reithaudin Awang Emran, 34, dan Mohd Fariss Azlan Mat Isa, 32, bagi menyelesaikan masalah kegoyahan benteng pertahanannya.

Apabila Jang Jung mengambi alih skuad Seladang daripada Norizan Bakar pada 22 Julai lalu, Jang Jung diminta menyelesaikan masalah benteng pertahanannya.

Perak berdepan masalah benteng pertahanan apabila pertahanan berpengalaman, Mohd. Khairi Zainuddin bersama-sama Mohd. Badrul Azam Mohd. Zamri dan Chan Wing Hoong diketepikan setelah masalah kecederaan yang berpanjangan.

Ketiga-tiga pemain pertahanan itu tidak disenaraikan oleh Perak dalam aksi Piala Malaysia akan datang.

Perak masih mempunyai barisan pemain pertahanan seperti K. Nantha Kumar, Mohd. Syazwan Roslan, Mohd. Shahrom Abdul Kalam, Mohd. Noor Hazrul Mustafa dan Mohd. Hisyammuddin Syaari.

Perak akan memulakan cabarannya dalam kumpulan C berdepan Sime Darby di gelanggang lawan pada 22 Ogos.




coded by nessus

Leave a Reply