Pahang berazam tidak melepaskan sebarang mata dalam kesemua tujuh baki perlawanan Liga Super 2015 untuk memastikan mereka mengekalkan penguasaan di puncak liga meskipun berdepan masalah kecederaan pemain.
Ini termasuk dalam perlawanan bertemu Sime Darby di Stadium MP Selayang malam ini dengan Tok Gajah menjanjikan skuad terbaik akan diturunkan untuk memastikan hasrat mengutip tiga mata penuh tercapai.
Pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan berkata, anak buahnya tidak boleh leka dengan kedudukan semasa sebaliknya mahu mereka terus fokus untuk memastikan Pahang tidak tercicir mata dan dipintas pasukan lain.
“Kita sudah hampir di penghujung liga dan sekarang hanya dibezakan dua mata dengan Johor Darul Ta’zim (JDT). Kalau mahu meraih kejuaraan, tiga mata adalah matlamat kita dalam setiap perlawanan.
“Berdasarkan pemerhatian terhadap prestasi dan keyakinan pemain, saya percaya ini bukan sesuatu yang mustahil,” katanya, di sini semalam.
Pahang kini mendahului Liga Super dengan mengumpul 33 mata, mengatasi JDT yang berada di tangga kedua dengan 31 mata selepas 15 perlawanan.
Tok Gajah dilihat berada di landasan terbaik untuk melebarkan jurang mata selepas merekodkan empat kemenangan dan satu seri dalam lima perlawanan lalu sebelum berehat untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menjelang perlawanan malam ini, Zainal Abidin tidak mahu para pemainnya memandang rendah keupayaan pasukan kendalian Ismail Zakaria yang dilihat mampu memberi kejutan berdasarkan rekod mereka sebelum ini.
Katanya, Sime Darby yang berisiko tersingkir ke Liga Perdana musim hadapan semestinya memasang impian untuk menewaskan Pahang dalam usaha memastikan mereka kekal dalam Liga Super.
Mengulas kesebelasan utama yang akan diturunkan pada perlawanan malam ini, bekas pemain kebangsaan itu berkata, hanya Azidan Sarudin yang direhatkan kerana mengalami kecederaan manakala pemain lain bersedia untuk beraksi setelah berehat panjang.
“Kesebelasan terbaik akan diturunkan untuk memberi tekanan kepada Sime Darby kerana matlamat kami adalah memperoleh gol awal,” katanya.