TOTTENHAM Hotspur menguatkan laluan mereka untuk hadir dalam kelompok empat teratas di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan pasukan yang bergelut West Ham 2-0 di halaman sendiri.
Ia adalah kemenangan ke-11 untuk Spurs daripada jumlah 20 perlawanan dengan pungutan 37 mata yang menyaksikan anak didik Harry Redknapp kini melonjak ke tangga keempat dengan lapan mata di belakang pendahulu, Chelsea.
Tottenham memulakan saingan mereka dengan garang dan mendahului seawal minit ke-11 - terima kasih kepada ledakan padu pemain sayap, Aaron Lennon yang gagal disekat untuk membolehkan Luka Modric hadir menolak masuk percubaan itu.
Rembatan pemain tengah Spurs, Tom Huddlestone terkena tiang 10 minit selepas rehat dan peminat tempatan tampak gelisah sehingga Jermaine Defoe mengesahkan kemenangan mutlak Spurs dengan ledakan padu minit ke-81.
“Saya berasa kami ada ramuan untuk mencabar dan gembira dengan tiga mata ini. ia hebat. Itulah yang kami mahukan,” kata Defoe yang percaya pasukannya dapat bertahan untuk mengejar kedudukan dalam kelompok empat teratas, musim ini.