WALAUPUN berkesudahan tanpa jaringan, Pengurus Sunderland, Steve Bruce nyata berpuas hati dengan keputusan itu namun menyifatkan pasukannya perlu mengambil peluang untuk lebih maju.
Pertemuan dengan Manchester United (United) menyaksikan Sunderland yang memiliki peluang cerah mendahului, gagal menyempurnakan penyudahnya.
“Anda pasti gembira apabila dapat mengambil sesuatu daripada mereka (United). Sejak 16 tahun cubaan saya untuk menewaskan mereka menemui jalan buntu.
“Agak sukar untuk memilih pemain bermain menentang pasukan yang hebat,” katanya.
Bruce turut memuji prestasi pemainnya Steed Malbranque yang baru ditugaskan di posisi tengah.
“Steed menyangka dia berada dalam keadaan ‘ofside’ kerana dia berhak mendapatkan satu jaringan. Dia seorang pemain yang hebat dan senang dengan tugas barunya itu,” katanya.
Mengulas mengenai pertemuan antara kedua-dua pasukan, Bruce gembira di dapat beraksi bersama United kerana masing-masing memiliki kelebihan yang hampir sama.
“Kami dibarisi pemain muda, bertenaga dan terbaik, namun apa yang menjadi kebimbangan saya adalah masalah kekurangan pemain untuk menembusi gawang lawan,” katanya.
Kini, Bruce harus bersedia untuk saingan seterusnya dan dijadualkan bertemu Blackburn Ro-vers dalam tempoh satu minggu dari sekarang.
“Saya akan gunakan masa yang ada sebaik mungkin untuk persediaan pasukan ini,” katanya.