NASIB malang terus menghantui skuad Johor FC dalam saingan Liga Super musim ini.
Masih belum reda lagi dengan masalah kecederaan pemain, kini skuad Lebah kehilangan khidmat dua tonggak utama, Shahrizal Saad dan Mohd. Khairul Ismail menjelang aksi menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.
Shahrizal dan Mohd. Khairul digantung perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika Johor FC seri 2-2 menentang Perlis di Stadium Utama Negeri, Kangar, Sabtu lalu.
Tanpa banyak pilihan, pengendali Johor FC, Mohd. Azuan Zain mengakui, beliau terpaksa menggunakan khidmat pemain Piala Presiden bagi menampung kekurangan pemain malam ini.
“Masalah kecederaan pemain masih belum selesai, dan kini dua pemain utama pula dilayangkan kad merah.
“Kami sudah mendahului 2-0 (pada aksi menentang Perlis) tetapi gagal bertahan selepas terpaksa bermain dengan hanya sembilan pemain.
“Memang kini kami berada dalam keadaan yang paling membimbangkan sehingga saya terpaksa menggunakan khidmat tiga pemain Piala Presiden.
“Dengan nasib malang yang berterusan ini, saya sudah cukup bersyukur jika mampu membawa pulang satu mata esok (malam ini),” kata Azuan kepada Kosmo! semalam.
Johor FC yang berada dalam kelompok tiga tempat tercorot di hadapan Perlis dan Sabah sebelum ini kehilangan dua pemain utama, Mohd. Syafuan Reduwan serta Mohd. Rizal Roslan yang menjalani pembedahan lutut serta Abdul Rahman Mohd. Zabul yang mengalami kecederaan kaki.
Menurut Azuan, kini hanya tuah sahaja yang diperlukan untuk membantu anak-anak buahnya berdepan Kedah yang sedang berada pada prestasi terbaik ketika ini.
“Kami tetap berjanji akan memberikan aksi terbaik tetapi saya amat mengharapkan tuah menyebelahi kami apabila berdepan Kedah.
“Mereka (Kedah) memiliki banyak kelebihan. Selepas menang dua perlawanan berturut-turut, sudah tentu tahap keyakinan mereka bertambah.
“Tambahan pula, mereka beraksi di hadapan penyokong sendiri. Saya harap, pemain- pemain saya akan dapat mengatasi semua tekanan yang ada,” katanya.
Main topics: Liga Super
Sub topics: Johor FC, Liga Malaysia, Liga Super 2011