KEDAH
Kedah memiliki bakat muda yang begitu banyak meraih pengalaman di peringkat antarabangsa.
Nama-nama seperti Khyril Muhymeen, Baddrol Bakhtiar, Sabree Mat Abu, Azmi Muslim dan beberapa pemain lagi cukup sinonim dengan pasukan kebangsaan.
Bahkan jurulatih baru, Ahmad Yusof telah berjaya menjawab segala keraguan pemerhati apabila telah berjaya membawa Kedah muncul finalis Piala FA.
Ini membuktikan Sang Kenari mampu mengharungi pusingan kalah mati dengan baik. Tetapi dengan persediaan negara yang sibuk untuk menghadapi Sukan Asia selain bakal menyertai Piala Ho Chi Minh 2010 di Vietnam sebelum pusingan kedua, Ahmad Yusof perlu bijak melakukan percaturan bagi mengelakkan pemain-pemain mengalami situasi ‘burn out’.
Ini kerana Kedah memutuskan tidak akan mengambil pemain pinjaman bagi mengharungi kempen ini melainkan mengharapkan pemain Piala Presiden sebagai sumber alternatif.
Shahrul Nizam Mutaffa merupakan nadi bagi menggerakkan jentera tengah Kedah, namun lebih baik seandainya Fauzi Saari yang masih bergelut dengan kecergasan pada Liga Super lalu dapat bergandingan dengannya.
Pemain tumpuan: Baddrol Bakhtiar
PERAK
Seandainya anak-anak buah Raja Azlan Shah Raja Soib masih memiliki motivasi seperti ketika dipamerkan semasa pusingan kedua Liga Super, Perak mempunyai harapan cerah untuk setidak-tidaknya melangkah ke suku akhir terlebih dahulu sebelum memasang impian pergi lebih jauh.
Mereka berusaha gigih untuk mengembalikan kepercayaan peminat. Tetapi dengan sumber pemain yang ada ketika ini, adalah wajar Perak memberi tumpuan kepada satu perlawanan ke satu perlawanan terlebih dahulu.
Pemain tumpuan: Razali Umar Kandasamy
JOHOR FC
Adakah Azuan Zain individu yang tepat untuk menggalas cabaran Johor FC bagi menggantikan Ramlan Rashid selaku ketua jurulatih. Menurut pengurus pasukan itu, Faizal Abdullah, pasukan itu tidak membuat rombakan besar melainkan mengikut acuan yang sedia ada.
Kini terpulang kepada percaturan Azuan yang akan memisahkan prestasi pasukan yang mengakhiri Liga Super di tangga keempat itu.
Tumpuan bakal terarah kepada Eddy Helmi Abdul Manan dan Nurul Azwan Roya untuk merobek gawang lawan. Itulah keluahan yang acap meniti di bibir Ramlan Rashid sebelum ini mengenai pasukannya yang kekurangan naluri membunuh.
Tahun lalu, Johor FC mara ke suku akhir.
Pemain tumpuan: Wan Rohaimi Wan Ismail
ATM
ATM musim ini telah berubah wajah sama sekali. Di bawah cita-cita besar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merangkap Menteri Pertahanan Negara. Beliau telah memanggil beberapa pemain-pemain yang kaya pengalaman seperti V Saravanan, Chan Wing Hong, Nafuzi Zain, Daniel Fadzly, Nasril Nourdin dan Ahmad Tharmini Saiban.
Ternyata percaturannya berbaloi musim ini. Jurulatih pasukan, Zulhamizan Zakaria mampu membuka mata banyak pihak di pentas Piala Malaysia ini.
Jelas sekali, Zulhamizan mempunyai kepercayaan tinggi selain menetapkan sasaran ke separuh akhir menjelang perlawanan sulung menentang Perak di Ipoh nanti.
Ini kerana sepanjang tempoh persediaan Piala Malaysia, beliau melihat kesungguhan tinggi yang dipamerkan anak-anak buahnya.
Tags: Piala Malaysia, Piala Malaysia 2010