SEKALIPUN tiada bekalan selesa untuk di bawa ke gelanggang lawan di Kangar pada perlawanan timbal balik suku akhir Sabtu ini, Negeri Sembilan tetap akan menjadikan kelebihan 1-0 itu sebagai landasan untuk ke separuh akhir Piala Malaysia.
Malah skuad berkenaan yakin mereka mampu mengenepikan cabaran Singa Utara dengan menambah defisit lawan pada perlawanan suku akhir kedua nanti.
Jurulatih Wan Jamak Wan Hassan yang berpuas hati terhadap persembahan anak buahnya kelmarin, berkata kemenangan tipis itu tetap memberi makna besar.
“Saya puas hati terhadap persembahan yang dipamerkan walaupun hanya menang tipis kerana ia tetap penting. Namun saya akui, barisan depan kurang berfungsi dengan sempurna terutama dari segi penyudahan berikutan ketiadaan Mohd Zaquan Adha (Abd Radzak).
“Norizam (Salaman) yang disandarkan gagal beraksi baik hingga menyebabkan beberapa peluang terlepas,” katanya.
Negeri Sembilan bertandang ke Kangar berbekalkan satu gol jaringan Shahurain Abu Samah yang menggantikan Norizam pada pertengahan babak pertama.
Wan Jamak berkata, dia mahu pemain meneruskan semangat juang itu sambil barisan depan diperkemaskan demi memastikan jaringan.
“Walaupun ada beberapa pemain muda seperti Mohd Asyraf Al-Jafri yang boleh menggalas tugas di barisan depan, saya berharap Norizam dapat meningkatkan lagi persembahannya kerana pertembungan di Kangar nanti dijangka lebih sengit.”
Tags: Negeri Sembilan, Negeri Sembilan vs Perlis, Piala Malaysia 2010, Suku Akhir, Wan Jamak