SELEPAS mengatasi naib juara tahun lalu, Kelantan, pemain Negeri Sembilan diingatkan supaya meneruskan rentak kemenangan itu apabila melayani kunjungan KL Plus pada perlawanan kedua Kumpulan A, saingan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.
Jurulatih skuad Rusa, Wan Jamak Wan Hassan, berkata pemain perlu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan gelanggang sendiri untuk mengutip mata penuh bagi meletakkan pasukan pada kedudukan yang lebih selesa.
Katanya, pemain tidak harus cepat berpuas hati dengan kemenangan ke atas Kelantan tempoh hari, sebaliknya menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk terus cemerlang termasuk apabila berdepan pasukan kelab, KL Plus.
“Saya bersyukur dengan kemenangan itu dan ia satu permulaan baik, namun pemain perlu bersikap berhati-hati apabila berdepan KL Plus malam esok (ini), kerana saya jangkakan pelawat pasti memberikan tentangan sengit selepas tewas kepada PKNS,” katanya.
Tags: Negeri Sembilan, Negeri Sembilan vs KL Plus, Piala Malaysia 2010