REPUTASI selaku satu-satunya pasukan bertaraf kelab daripada lapan pasukan yang mara ke suku akhir Piala Malaysia 2010 menjadi bekalan buat Johor FC untuk memberi persembahan terbaik apabila berdepan Pahang pada perlawanan pertama di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam esok.
Johor FC membuktikan bahawa keupayaan mereka tidak wajar diperkecilkan apatah lagi berjaya mengetepikan pasukan bekas juara, Perak dalam laluan mereka ke pusingan kalah mati.
Pasukan dari selatan tanah air itu menjuarai Kumpulan C selepas menang 1-0 ketika menentang Perak di gelanggang lawan malam semalam.
Satu lagi pasukan yang layak dari kumpulan berkenaan ialah Kedah selepas skuad Kenari menang besar 4-0 ke atas ATM di Alor Setar, namun sekadar berpuashati muncul naib juara Kumpulan C.
Kejayaan muncul sebagai juara kumpulan yang dibarisi pasukan lebih berpengalaman ibarat memberi tonik baru pengendali pasukan, Azuan Zain yang sudah mula mencongak strategi bagi menghadapi tentangan skuad bimbingan bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh.
Azuan berkata, beliau akan berbincang dengan penolongnya, Sazali Saidon dan Ramlan Sarman untuk mengatur formasi dan strategi terbaik bagi memastikan kelebihan awal sebelum bertandang ke Stadium Darul Makmur untuk perlawanan kedua Sabtu ini.
Pahang berjaya ke suku akhir selepas muncul naib juara Kumpulan B di belakang Terengganu.
Jika diukur prestasi dalam saingan Liga Super musim ini, Johor FC nyata lebih baik apabila mengakhiri saingan di tangga keempat berbanding pasukan Tok Gajah yang menduduki tempat kelapan.
Tags: Johor FC, Johor FC vs Pahang, Piala Malaysia 2010, Suku Akhir