PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menunaikan janji memberikan ganjaran wang tunai RM200,000 kepada skuad bola sepak negeri itu berikutan kejayaan menjulang Piala FA menewaskan Kedah 5-4 menerusi penentuan penalti, Sabtu lalu.
Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan menyerahkan ganjaran itu kepada kapten, Rezal Zambery Yahya pada majlis makan tengah hari di Klana Resort Seremban, semalam.
Mohamad dalam ucapannya mahu skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan meneruskan rentak cemerlang dengan misi yang disasarkan merangkul kejuaraan Liga Super di samping mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi, November lalu.
“Saya harap pemain dapat mengekalkan prestasi dan kekuatan pasukan di samping meneruskan persembahan cemerlang kerana bukan mustahil untuk kita menjuarai Liga Super selepas menjulang Piala FA.
“Jika ini dapat dibuktikan, saya berjanji untuk memberi hadiah RM500,000 kepada pasukan,” katanya.
Sementara itu, Wan Jamak berkata, pihaknya mahu mengkaji dulu sebelum membuat keputusan sama ada menyertai Piala AFC tahun depan atau tidak selepas layak bertanding susulan memenangi Piala FA.
Menurutnya, kajian perlu dilakukan kerana tidak mahu menanggung risiko menjadi skuad belasahan sedangkan saingan kompetitif itu menampilkan pasukan yang memiliki kekuatan tersendiri.
“Kita tidak mahu penyertaan Negeri Sembilan dalam saingan itu nanti ibarat yang dikejar tidak dapat dan dikendong keciciran kerana dalam masa yang sama perlu memberikan tumpuan kepada saingan tempatan,” katanya. - Berita Harian
Tags: Ganjaran, Negeri Sembilan, Piala FA