Saturday, 02/04/2016


Pengadilan buruk bolehkan China atasi Malaysia 3-0

Published on November 14, 2010 by   ·   No Comments

Tiada seorang pun pemain China dilayang kad

MALAYSIA melangkah ke pusingan kedua bola sepak Sukan Asia Guangzhou 2010 sekalipun tewas kepada China 0-3 dalam perlawanan ketiga Kumpulan A di Stadium Tianhe, malam tadi yang penuh dramatik dengan tiga pemain negara dilayangkan kad merah.

Malaysia menepati sasaran - menamatkan penantian 32 tahun untuk ke pusingan kedua - selepas menjadi salah satu daripada empat pasukan tempat ketiga terbaik, daripada enam kumpulan dengan tiga mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan, mengatasi Palestin dan Maldives yang memungut satu dan dua mata dalam kumpulan masing-masing.

Namun, permainan yang dijangka menarik pada awalnya, memihak kepada China pada minit ke-25 apabila tiga kad merah dilayangkan pengadil Ben Williams dari Australia kepada Mahalli Jasuli dan kapten, Safiq Rahim serta K Kunalan pada minit ke-80.

Situasi itu memaksa jurulatih K Rajagobal yang sudah pun kehilangan beberapa tonggak, tidak punya pilihan selain membuat pertukaran taktikal dengan memasukkan K Gurusamy bagi menggantikan Mohd Faizal Abu Bakar, Mohd Faizal Muhamad untuk Amar Rohidan pada babak pertama dan Izzaq Faris Ramlan dengan Norshahrul Idlan Talaha di babak kedua.

“Saya kecewa dengan pengadilan. Dengan 10 pemain pun saya yakin kami mampu mengikat mereka tetapi tanpa dua pemain termasuk Safiq, dan kemudian Kunalan, tiada apa yang pemain mampu lakukan.

Namun saya puji sikap pemain muda kita yang tetap melawan. Bagi saya, pengadil merosakkan segala-galanya,” kata Rajagobal yang mengakui tidak mengetahui Malaysia sudah layak ke pusingan kedua sebelum permainan itu bermula tetapi perlu memikir strategi terbaik untuk menghadapi juara Kumpulan B, Iran, di pusingan kedua, esok.

Dalam perlawanan di depan 25,000 penonton itu, China menguasai sepenuhnya permainan untuk mengembalikan sokongan peminatnya selepas kalah kepada Jepun tempoh hari, dengan mengasak seawal minit kedua apabila penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat terpaksa melayangkan badan untuk menafikan cubaan pertama tuan rumah.

Dengan corak permainan bertahan, China mengasak bertubi-tubi tetapi Khairul Fahmi sekali lagi menafikan tandukan Zhang Yuan pada minit ke-16 dengan peluang terbaik negara diperoleh daripada hantaran silang S Chanturu tetapi tiada rakan yang menyambar hinggalah insiden dua kad merah yang merencatkan terus permainan.

Namun pujian harus diberikan kepada semua pemain yang bekerja keras terutama Khairul Fahmi yang banyak menyelamatkan cubaan bahaya tuan rumah sebelum tertewas dengan tandukan Li Jianbin pada minit ke-62, sepakan percuma Zhao Hongiue (m65) dan penalti Zhang Linpeng (m83).




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News