PEMAIN Johor FC diingatkan supaya tidak leka dibuai mimpi setelah kemenangan 2-0 ke atas Terengganu kelmarin, yang membolehkan pasukan kelab itu melonjak ke tangga kedua Liga Super buat kali pertama musim ini.
Jurulatihnya, Ramlan Rashid sebaliknya berkata, anak buahnya perlu membulatkan tekad untuk merampas takhta liga, selepas berjaya mengumpul 22 mata.
Pasukan itu kini hanya empat mata dipisahkan di belakang Selangor, yang menerajui liga.
Menurutnya, kemenangan bergaya skuad Lebah itu sepatutnya menjadi penanda aras untuk pemain meneruskan aksi garang mereka hingga penghujung saingan liga.
“Pemain perlu menonjolkan tahap disiplin dan semangat tinggi serta perlu bijak untuk tidak mengulangi aksi yo-yo atau ‘suam-suam kuku’ seperti musim-musim lalu.
“Penyakit lama itu haruslah ditentang habis-habisan, kerana ia adalah faktor penghalang yang akan memusnahkan impian kita untuk muncul juara Liga Super buat kali pertama pada musim ini,” katanya semalam.
Johor FC naik ke tangga kedua liga selepas menang 2-0 ke atas Terengganu pada aksi di Stadium JCorp hasil jaringan Eddy Helmy Manan dan Izuan Jaruddin.
Ramlan berkata, pemain tidak boleh merasa selesa dengan kedudukan sekarang, kerana banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi apatah lagi pusingan pertama liga belum berakhir.
Jelasnya, apa yang penting, pasukan kendaliannya harus memberi fokus kepada setiap perlawanan seterusnya, dengan meletak sasaran untuk mencabar kedudukan Selangor.
“Kami perlu meneruskan rentak kemenangan kerana kedudukan di tangga kedua liga belum selamat.
”Kedudukan kami hanya dipisahkan dengan beberapa mata di kalangan pasukan lain.
“Menang setiap perlawanan menjadi keutamaan kami selepas ini dan pada masa sama, jangan masih lagi melakukan kesilapan mudah seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan menentang Terengganu,” katanya.
Mengulas pertemuan menentang T-Team di gelanggang lawan esok, Ramlah mengakui mempunyai strategi tersendiri untuk merobek gawang tuan rumah, selepas pemainnya bebas daripada kecederaan.
Jelasnya, tiga mata penuh boleh dibawa pulang dari Kuala Terengganu esok, jika kesebelasan pemain utama yang diturunkan dapat menterjemahkan segala arahannya di atas padang. - Utusan Malaysia
Tags: Johor FC, Liga Super, Ramlan Rashid
Ayuh Johor FC…rampas kedudukan pertama liga.