Sunday, 14/04/2013


NS kuasa baru bola sepak tempatan?

Published on April 12, 2010 by   ·   No Comments

KEJAYAAN menjulang Piala FA kelmarin, membuktikan skuad Negeri Sembilan kini merupakan kuasa baru bola sepak negara, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Namun, beliau mahu skuad Rusa mengekalkan prestasi dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Menurut Mohamad, yang juga Menteri Besar nyata gembira kerana anak buah Wan Jamak Wan Hassan berpegang kepada nasihat yang diberikannya.

”Pemain membuktikan mereka mampu beraksi secara konsisten selepas menjuarai Piala Malaysia musim lalu.

”Saya harapkan lebih banyak kejuaraan akan diraih oleh skuad Negeri Sembilan musim ini.

”Menyentuh persembahan mereka pada malam ini, saya amat sukacita dengan prestasi yang ditunjukkan oleh semua pemain kerana selepas tujuh musim menunggu, Negeri Sembilan akhirnya kembali bergelar juara Piala FA, ” katanya ketika ditemui selepas penyampaian trofi Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Mengenai ganjaran, Mohamad menjelaskan, janji sebelum ini akan ditunaikan, iaitu ganjaran RM400,000 termasuk RM 200,000 selepas muncul juara Piala FA.

”Saya akan gunakan formula yang sama seperti kejohanan Piala Malaysia lalu, iaitu menyediakan habuan kepada para pemain yang berjuang bermati-matian untuk menjulang nama Negeri Sembilan.

”Mungkin sebab itu mereka nampak bersungguh-sungguh malam ini, ” katanya.

Sementara itu, penyerang Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abdul Razak meminta maaf kerana gagal menyempurnakan penalti pertama, yang hampir memberikan kekalahan buat skuad Rusa.

”Saya amat tertekan kerana tidak pernah berdepan pengalaman sebegini.

”Kesilapan itu hampir menyebabkan rakan-rakan jatuh semangat untuk mengambil sepakan berikutnya.

”Selain itu, saya kurang gembira dengan persembahan saya pada malam ini kerana gagal membantu pasukan mendapatkan gol seperti mana yang diharapkan.

”Namun, syukurlah mereka dapat menebus kembali kesilapan saya. Saya anggap ini adalah rezeki penyokong Negeri Sembilan dan saya hadiahkan kemenangan ini kepada mereka,” katanya.

Selepas menjulang Piala FA, Zaquan berazam membantu Negeri Sembilan memburu kejuaraan Liga Super, dan berkata ia bukan mustahil.

”Kami ketinggalan enam mata kepada pendahulu, Selangor.

”Perlu diingatkan, jadual pusingan pertama masih belum dihabiskan lagi dan saya yakin Negeri Sembilan masih berpeluang mengejar kedudukan Selangor atau Terengganu,” katanya.

Tags: , ,

Readers Comments (0)




Latest News