PENYERANG kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak menyelamatkan Negeri Sembilan daripada pulang dengan tangan kosong apabila jaringannya lima minit sebelum aksi babak pertama tamat memastikan juara Piala FA itu mengutip satu mata selepas mengikat KL Plus 1-1 dalam aksi Liga Super, malam tadi.
Beraksi di Stadium MBPJ Kelana Jaya, KL Plus bermula cemerlang apabila tandukan Mohd Fadzli Shaari pada minit ke-20 membolehkan pasukan tuan rumah mendahului 1-0.
Namun jaringan itu hanya bertahan selama 20 minit sahaja apabila Zaquan berjaya melepasi dua pemain pertahanan KL Plus sebelum memperdayakan penjaga gawang lawan, Mohd Faizal Abdul Rasyid untuk gol penyamaan Negeri Sembilan.
Walau pun berjaya memungut satu mata, namun ia gagal memperbaiki kedudukan buat Negeri Sembilan dalam carta Liga Super sebaliknya juara Piala Malaysia 2009 itu turun ke tangga kelapan dengan 24 mata.
Perlis yang menewaskan Perak 3-0 di Kangar, memintas Negeri Sembilan di tangga ketujuh dengan jumlah mata yang sama namun memiliki jurang gol yang lebih baik.
Negeri Sembilan berpeluang memperbaiki kedudukan mereka apabila dijadual menentang Johor di gelanggang sendiri Sabtu ini manakala Perlis pula berdepan halangan sukar apabila bertandang ke Shah Alam untuk membuat perhitungan dengan pendahulu liga, Selangor.
Tags: KL Plus, Liga Super, Negeri Sembilan, Zaquan Adha