SELEPAS mengharungi enam perlawanan, langkah Selangor seakan-akan terumbang-ambing seketika apabila tewas kepada Terengganu, minggu lalu - sekali gus memadamkan rekod tanpa kalah mereka dalam kancah Liga Super, musim ini.
Namun, menurut jurulatih Selangor K Devan, apa yang dikecapi Selangor ketika ini masih pada tahap yang boleh dibanggakan jika dibandingkan dengan prestasi anak buahnya, musim lalu.
“Jika lihat kepada kutipan mata pada pertengahan babak ini Selangor hanya tewas sekali dalam pertemuan mereka, selebihnya mereka cemerlang. Pencapaian itu jauh lebih bagus, jika dibandingkan dengan prestasi musim lalu,” kata Devan.
“Apa yang saya mahu pastikan tidak akan ada kekalahan berturut turut dan mereka berjaya membuktikan apabila kembali bangkit menewaskan Johor (6-0) selepas kalah teruk kepada Terengganu sebelum ini.”
Tambahnya lagi, anak buahnya kini lebih yakin dan menunjukkan kesungguhan dalam menjalani sesi latihan ketika ini bagi mengelak kesilapan sama berulang.
“Kekalahan adalah adat dalam mana mana perlawanan, tapi kebangkitan selepas kekalahan adalah sesuatu yang begitu bermakna dan saya tahu pemain mengerti apa perlu dilakukan dalam perlawanan seterusnya,” katanya.
— Berita Harian
Tags: K Devan, Liga Malaysia, Liga Super, Selangor