PENYERANG Chelsea, Didier Drogba menjaringkan hatrik untuk membantu juara bertahan itu menewaskan West Bromwich Albion 6-0 pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Florent Malouda meletakkan Chelsea di hadapan sebelum Drogba menyudahkan sepakan percuma dan jaringan dari jarak dekat untuk menjadi penjaring keenam terbanyak di dalam senarai penjaring sepanjang masa untuk kelab itu.

Frank Lampard turut menjaringkan gol sebelum percubaan Drogba yang terkena pemain lawan menerjah jaring, manakala Malouda menjaringkan gol keduanya pada minit terakhir perlawanan.

“Ia permulaan bagus tapi terdapat beberapa kesukaran yang akan datang,” kata Drogba.

Namun kemenangan besar itu memberikan Chelsea sedikit kelegaan sebelum naib juara musim lalu Manchester United turun menentang Newcastle awal pagi esok.

Malouda menolak masuk bola selepas penjaga gol pasukan West Brom, Scott Carson terlepas bola pada minit keenam. Jaringan Drogba pada minit ke-45 pula menjadikannya setaraf dengan jumlah gol Jimmy Greaves dan jaringannya 10 minit kemudian meletakkan dia di hadapan bekas penyerang England itu.

Lampard menjaringkan gol dari jarak 12 meter sebelum penyerang Ivory Coast itu menjaringkan gol ke-134 di kelab itu melalui percubaan yang terkena pemain pertahan lawan. Drogba digantikan selepas itu dan Malouda melengkapkan kemenangan besar pada minit terakhir permainan selepas menolak masuk hantaran Nicolas Anelka.

Drogba menjaringkan 29 gol pada musim lalu membantu Chelsea menyingkirkan Manchester United dari kejuaraan liga dengan perbezaan satu mata.

Pada masa kini di dalam Chelsea hanya Frank Lampard yang berada di tempat ketiga menjaringkan lebih banyak gol daripada Drogba. Drogba juga adalah pemain bukan dari England di dalam senarai 10 teratas kelab itu.

“Saya pernah menyatakan pada musim lalu ingin menjaringkan lebih banyak gol dan mencipta sejarah,” kata Drogba.

“Saya tidak mahu berhenti di sini. Saya mahu teruskan dan letakkan nama saya lebih tinggi.”

Leave a Reply