PENGURUS Alex Ferguson yang sedang mencongak nasib kejuaraan Manchester United malam ini, mengakui hanya Wigan merupakan harapan terakhir mereka.

Penyandang juara itu meletakan sepenuh keyakinan terhadap pasukan jiran mereka itu mampu mengubah nasib United, untuk meraih sesuatu yang baik di padang lawan apabila menentang Chelsea.

Jika Wigan berjaya, akan wujud peluang besar untuk United kembali meraih kuasa, jika mereka menyingkirkan Stoke.

Fergie berkata, apa yang dia dan pasukannya mampu lakukan ialah berharap.

Dia juga berdoa agar hari ini merupakan hari yang lebih baik buat skuadnya, berbanding sebelum ini.

Bos United itu berkata, ‘‘Apa yang saya tahu ialah kami berada dalam situasi di mana kami hanya mampu berharap.

‘‘Hanya itu yang mampu kami lakukan, berharap. Kami yakin Wigan akan melakukan yang terbaik dan mencuba.

‘‘Tiada persoalan lagi mengenai perkara itu. Kami mampu melaksanakan tugas kami, dan tiada guna menjangkakan apa-apa dari Chelsea yang bakal memihak kepada kami.’’

Sementara itu, Ferguson mengakui mereka mengalami minggu ‘neraka’ sehingga menyebabkan United bakal terlepas peluang kejuaraan besar musim ini.

United berdepan prospek menamatkan musim ini, hanya memenangi Piala Liga dalam kabinet trofi mereka, kecuali jika berlaku keajaiban pada hari terakhir mereka, hari ini.

Saat malang yang tidak pernah diduga oleh pasukan itu bermula apabila United mendahului pada suku akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich pada 30 Mac lalu.

Wayne Rooney mengalami kecederaan buku lali, ketika kelab Jerman itu mengesahkan kemaraan ke separuh akhir di Old Trafford pada 7 April.

Selepas itu, mereka kalah 1-2 di tempat sendiri kepada Chelsea, menyebabkan kejuaraan liga semakin jauh.

Kata Fergie: ‘‘Kami kecewa kerana gagal menang kejohanan lain. Saya rasa kekecewaan terbesar kami ialah dalam kejohanan Eropah,’’ katanya.

Leave a Reply