BEKAS pemain Arsenal, Cecs Fabregas, memberi amaran kepada Robin van Persie bahawa sekarang adalah masanya sekiranya mahu meninggalkan Arsenal.
Teka teki mengenai masa depan van Persie bersama The Gunners menimbulkan tanda tanya apabila kapten Arsenal itu dilaporkan menangguhkan perbincangan untuk menandatangani kontrak baharu sehingga penghujung musim ini.
Ini membuatkan Arsenal bimbang akan kemungkinan pemain Belanda itu yang kini berusia 28 tahun akan menjadi satu lagi nama besar yang meninggalkan kelab dari utara London itu.
Fabregas yang kini beraksi untuk Barcelona berkata, “Saya tidak tahu sama ada mereka boleh mengekalkannya. Ia merupakan keputusan dia sendiri.
“Pada peringkat umurnya sekarang, sekiranya dia mahu berpindah, ini merupakan peluang terakhir dan jika dia mahu kekal, dia akan bersara bersama Arsenal,” katanya.
Kontrak van Persie bersama Arsenal kini hanya tinggal 18 bulan.
“Kita akan melihat keputusannya, namun dia sangat setia kepada Arsenal untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Dia merupakan kunci pasukan dan disayangi peminat,” kata Fabregas.
Van Persie memulakan musim yang cemerlang bersama Arsenal, dengan meledakkan 13 gol.
Fabregas turut mengakui bahawa van Persie kini menikmati musim menakjubkan.
“Diharap dia kekal cergas sehingga penghujung musim. Ketika saya bersama Arsenal, dia tidak pernah menikmati keseluruhan musim tanpa kecederaan,” katanya. — Kosmo