PEMAIN tengah Manchester United, Darren Fletcher menegaskan perlawanan Piala FA menentang musuh lama, Leeds hari ini merupakan kebimbangan terbarunya, berbanding memburu kejuaraan berganda, Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara.
Leeds, bekas juara bola sepak liga England tetapi kini beraksi dalam divisyen tiga bola sepak tempatan, selepas kejatuhan mendadak dari puncak kemasyhuran, menjadi keutamaan kepada United walaupun banyak perlawanan penting yang menanti mereka selepas ini.
Selepas perlawanan hari ini, United akan berdepan Manchester City pada perlawanan separuh akhir Piala Liga (Carling Cup), sebelum aksi Liga Perdana bersambung semula dengan menentang Birmingham pada 9 Januari.
AC Milan menjadi agenda United selepas itu pada perlawanan Liga Juara-Juara, bulan depan.
“Semua orang berpandangan jauh dan bercakap mengenai perlawanan dalam tempoh perayaan Krismas, tetapi sebenar semua perlawanan selepas ini adalah penting bagi kami.
“Saya memandang serius setiap perlawanan dan saya rasa semua pemain berpandangan serupa.
“Anda harus sentiasa berpandangan jauh dan mula berfikir apa yang akan datang selepas ini, berfikir adakah anda akan melalui perlawanan yang mudah.
“Namun, ia tidak mudah. Kami ada perlawanan Piala FA, separuh akhir Piala Liga dan lebih banyak perlawanan penting dalam Liga Perdana.
“Perkara yang terbaik untuk dilakukan ialah cuba menang kesemua perlawanan,” katanya.
Rakan sepasukannya, Michael Carrick berkata, dia mahu merasai bahang pertembungan United dengan Leeds hari ini dan merasakan skuad Sir Alex Ferguson berada di ambang untuk meledakkan prestasi sebenar mereka.
United melangkah ke tahun 2010 dengan dua mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Chelsea dan layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.
Begitupun, pemain tengah England, Carrick berkata, United belum lagi mencapai puncak prestasi.
Kelab di Old Trafford itu kalah lima perlawanan Liga Perdana dan dibelenggu masalah kecederaan pemain pertahanan.
Masalah tersebut diredakan dengan persembahan baik Wes Brown dan Nemanja Vidic, yang membuktikan mereka gandingan mantap di pertahanan tengah.
Ferguson menegaskan, dia menggunakan barisan pemain muda pada perlawanan Piala Liga menentang City nanti, namun dia memilih untuk menurunkan barisan terkuat apabila menentang pendahulu Liga Satu, Leeds hari ini.
Kelab di Yorkshire itu, yang mengalahkan skuad Ferguson dalam saingan kejuaraan pada 1992, menghuni divisyen tiga bola sepak England selama tiga tahun.
Namun, sejak kebelakangan ini Leeds dilihat mampu kembali untuk beraksi ke liga utama England.
Perlawanan pertama kedua-dua pasukan sejak Leeds tersingkir dari Liga Perdana pada 2004 hari ini, paling ditunggu-tunggu dan pasukan pelawat dijangka membawa 9,000 penyokong ke Old Trafford.
Namun, Carrick mahu merasai debaran pertama pada perlawanan paling sukar esok.
“Menempoh pengalaman pada perlawanan yang cukup lincah adalah sebab mengapa anda bermain bola sepak.
“Pasukan seperti Leeds akan menambahkan lagi kehangatan perlawanan. Aksi esok (hari ini) amat bagus untuk penyokong dan baik untuk pemain.
“Tidak kira di mana anda bermain, atau bagaimana suasana perlawanan, ia pastinya menyeronokkan untuk beraksi.
“Leeds akan membawa ramai penyokong dan kami tidak sabar menanti mereka,’’ kata Carrick.
United kalah dalam dua dari lima perlawanan terakhir mereka di tempat sendiri, tetapi kemudiannya berjaya membelasah Wigan 5-0 dan Carrick terdesak untuk pasukannya meneruskan peningkatan di Old Trafford apabila berdepan Leeds.
“Kami belum lagi mencapai puncak prestasi di sepanjang musim ini, terutama di padang sendiri.
“Apa yang kami lakukan adalah sekadar ‘cukup makan’ sahaja. Namun, kami tahu kami sebenarnya lebih bagus daripada apa yang kami capai sekarang, kini sudah tapi masa untuk kami melakukannya,” katanya.
Sementara itu, Ferguson memberi isyarat bahawa Gary Neville akan diturunkan apabila menentang Leeds dan dia akan menurunkan barisan pemain yang hampir sama ketika membelasah Wigan.
Leeds tidak pernah menang di Old Trafford sejak 1981 dan mereka turun pada perlawanan hari ini sebagai pasukan underdog.