ARSENAL melepaskan peluang memintas Manchester United apabila terpaksa berhempas pulas sebelum akhirnya lega dapat berkongsi satu mata dengan Everton di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Jaringan Tomas Rosicky pada minit terakhir permainan menyelamatkan Arsenal daripada tumpas di gelanggang sendiri apabila berjaya mengikat Everton 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.
Tidak seperti ketika skuad The Gunners membelasah pasukan sama 6-1 di kandang lawan Ogos lalu, kali ini Everton benar-benar membuatkan pasukan kendalian Arsene Wenger itu tidak senang duduk apabila The Tofees memaksa tuan rumah bangkit dua kali sebelum berjaya mengikat kedudukan.
Pemain tengah Everton, Leon Osman mengejutkan tuan rumah dengan membuka jaringan pasukan pelawat menerusi tandukan pada minit ke-12.
Jaringan berpunca daripada penyerang Los Angeles Galaxy, Landon Donovan yang membuat kemunculan sulung selepas dipinjamkan selama 10 minggu bersama Everton.
Bintang Amerika Syarikat itu mengambil sepakan sudut yang kemudian ditanduk Osman untuk gol pembukaan pelawat.
Arsenal bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1. Pemain Brazil, Denilson melepaskan rembatan rendah yang terkena kaki Osman sebelum menewaskan penjaga gol, Tim Howard pada minit ke-28.
Pasukan tuan rumah kemudian bermula garang sebaik babak kedua bermula dan mendominasi saingan awal, namun permulaan yang baik belum menjamin keputusan yang baik.
Kesilapan yang dilakukan benteng pertahanan mereka dihukum sepenuhnya oleh Everton untuk menghasilkan gol kedua, 10 minit sebelum tamat permainan.
Jaringan berpunca menerusi gerakan solo pemain tengah, Steven Pienaar yang kemudian melambung bola menewaskan penjaga gol Arsenal, Manuel Almunia.
Ketika kemenangan hampir terbayang di mata pemain-pemain Everton, Arsenal yang tidak pernah mengaku kalah akhirnya berjaya mencari gol penyamaan menerusi rembatan cantik Rosicky yang berjaya menewaskan Howard.
Arsenal kini mengekori pendahulu, Chelsea dengan tiga mata di belakang selepas mengumpul 42 mata daripada 20 perlawanan.
Terdahulu, lima lagi perlawanan yang dijadual berlangsung semalam terpaksa ditunda akibat salji tebal.
Perlawanan tersebut melibatkan pertemuan Hull City menentang Chelsea, Burnley-Stoke City, Fulham- Portsmouth, Sunderland-Bolton dan Wigan bertemu Aston Villa.
Perkembangan terbaru itu turut menyaksikan perlawanan antara Liverpool dan Tottenham yang dijadual hari ini turut ditunda.