GOL penyamaan ketua pasukan, Steven Gerrard pada minit ke-36 menjadi penyelamat maruah Liverpool dalam pusingan ketiga saingan Piala FA England awal pagi semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Madejski itu Liverpool diikat 1-1 oleh Reading, pasukan yang sedang berada dalam zon bahaya dalam Liga Kejuaraan.
Keputusan itu bermakna Liverpool mempunyai satu lagi peluang dalam perlawanan ulangan yang dijadualkan pada 12 Januari ini di Anfield.
Rekod sebelum ini menyaksikan Reading pernah mengejutkan Livrpool ketika kelab itu bersaing dalam Liga Perdana Inggeris bagi musim 2007/2008.
Ketika itu Reading mencipta kejutan menerusi kemenangan 3-1 ke atas Liverpool, juga aksi yang berlangsung di Stadium Madejski.
Reading yang kini memiliki kelebihan dua mata di atas pasukan kedua terbawah zon penyingkiran Liga Kejuaraan hampir mengejutkan Liverpool apabila Simon Church memberi gol pertama tuan rumah dan berjaya bertahan sehingga 24 minit selepas barisan bimbingan Benitez gagal menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma.
Namun, sepakan jarak jauh Steven Gerrard akhirnya menyelamatkan Liverpool yang memaksa perlawanan ulangan dilangsungkan di Anfield pada 12 Januari ini. Ia memaksa Benitez akur betapa barisan pemainnya perlu meningkatkan prestasi untuk memenangi perlawanan kedua itu nanti.
“Saya merasa lega,” kata Benitez yang kini semakin tertekan. “Saya fikir ia cukup sukar. Mereka (Reading) bermain cukup baik. Untuk bermain di depan televisyen dan menentang Liverpool adalah peningkatan mendadak buat mereka dan kamu juga dapat melihat mereka bermain cukup baik,” kata pengurus berbangsa Sepanyol itu.