Florent Malouda meraikan gol kedua Chelsea hasil jaringannya dalam aksi Piala FA menentang Aston Villa, 11 April 2010.

JUARA bertahan, Chelsea mara ke perlawanan akhir Piala FA selepas menewaskan Aston Villa 3-0, lewat malam tadi sekali gus mencerahkan peluang skuad The Blues untuk menjulang gelaran berganda buat pertama kalinya.

Ketiga-tiga gol Chelsea hadir selepas babak kedua menerusi Didier Drogba minit ke-67, sebelum Florent Malouda menokok gol kedua pada minit ke-89 dan Frank Lampard mengukuhkan kedudukan ketika permainan hampir tamat.

Chelsea akan menunggu lawannya iaitu pemenang antara Tottenham Hotspur menentang Portsmouth malam ini dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Turun dengan status pendahulu Liga Perdana dan masih terbayang kemenangan besar 7-1 dalam saingan liga ke atas barisan Martin O’Neill itu dua minggu lalu, anak buah Carlo Ancelotti kini berpeluang cerah untuk merangkul dua trofi musim ini, sesudah terkandas di suku akhir Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini.

Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, The Blues tampil lebih garang pada babak kedua dengan asakan bertali arus ke gawang Villa yang dikawal Brad Freidel dan akhirnya memecah kebuntuan apabila Drogba yang sudah mengumpul 31 gol musim ini, menyambung sepakan Frank Lampard pada minit ke-66.

Villa yang bersandarkan serangan pantas mencari penyerangnya, Gabriel Agbonlahor terus buntu untuk mencari gol penyamaan apabila Chelsea mendominasi saingan dengan dua gol Florent Malouda dan Frank Lampard pada penghujung saingan.

Dalam satu lagi saingan separuh akhir malam ini, Tottenham dan Portsmouth bertemu untuk mencari tempat ke final.

Perlawanan akhir Piala FA akan dilangsungkan di Stadium Wembley pada 15 Mei nanti.

Leave a Reply