MANCHESTER United hanya sempat berada di puncak Liga Perdana Inggeris selama sehari sehaja apabila Chelsea kembali merampas kedudukan teratas liga selepas membelasah Stoke City 7-0 dalam aksi yang baru berakhir di Stamford Bridge lewat malam ini.
Semalam Manchester United menghuni puncak EPL selepas menewaskan Tottenham 3-1 di Old Trafford. Dua daripada gol United dijaringkan menerusi tendangan penalti yang disempurnakan tonggak veterannya, Ryan Giggs.
Namun di Stamford Bridge, Chelsea membuktikan watak sebenar mereka untuk merampas gelaran EPL apabila mendominasi perlawanan dengan gol pertama hadir menerusi jaringan Salomon Kalou pada minit ke-24 sebelum menggandakan jaringan peribadinya tujuh minit selepas itu.
Seminit sebelum babak pertama berakhir, Frank Lampard menyempurnakan tendangan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-0 buat The Blues.
Penguasaan tuan rumah berterusan di babak kedua apabila menambah empat lagi gol dengan Kalou melengkapkan jaringan hatrik pada minit ke-68 disusuli satu lagi jaringan Lampard minit ke-81.
Daniel Sturridge menambah gol keenam buat tuan rumah minit ke-87 sebelum jaringan Florent Malouda dua minit kemudian melengkapkan malam gemilang buat The Blues.
Sementara itu, Liverpool dan Aston Villa menyalakan sisa-sisa harapan layak ke Liga Juara-Juara Eropah, musim depan manakala Burnley sah tersingkir ke liga bawah.
Dua gol daripada kapten pasukan, Steven Gerrard membantu Liverpool menewaskan Burnley 4-0 manakala jaringan tunggal James Milner menerusi sepakan penalti membantu Aston Villa menewaskan Birmingham City 1-0.
Everton turut ceria selepas menewaskan Fulham 2-1 dengan Mikel Arteta menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit terakhir perlawanan di Goodison Park.