Misi balas dendam.
Itu matlamat penyerang Pahang, Mohd. Fauzi Roslan dengan harapan pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan dapat menurunkannya dalam kesebelasan utama pada perlawanan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Pemain yang terkenal dengan jolokan budak ajaib itu nyata bersemangat untuk membantu Tok Gajah dalam meneruskan momentum kemenangan, sekali gus membalas dendam kekalahan kepada ATM pada pusingan pertama liga.
Fauzi yang merupakan antara penjaring gol dalam pertemuan menentang Sime Darby minggu lalu berkata, Pahang mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri yang setakat ini belum lagi tercalar dengan kekalahan.
“Kita kalah dengan ATM pada awal musim ketika beraksi di gelanggang lawan dengan satu gol. Berdasarkan prestasi semasa, saya percaya kemenangan bukan satu yang mustahil.
“Ini peluang untuk balas dendam kerana kita mempunyai kelebihan dengan beraksi di gelanggang sendiri selain sokongan padu penyokong,” ujarnya.
Pahang akan turun malam ini dengan berbekalkan rekod tiga kemenangan berturut-turut, manakala ATM masih bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran dalam Liga Super musim ini.
Sementara itu, kapten Pahang, Mohd. Razman Roslan menuntut jentera pertahanan Pahang menjadi lebih ampuh bagi mengelak agar dibolosi.
Mengambil iktibar daripada perlawanan menentang Sime Darby minggu lalu apabila ketinggalan dua gol, Razman berharap kesilapan sama tidak berulang kerana ia akan menyukarkan misi untuk mengutip tiga mata.
“Saya harap, rakan sepasukan khususnya barisan pertahanan lebih fokus dengan mengawal ketat pemain lawan yang pastinya bijak untuk menjaringkan gol,” katanya.