Pengalaman menjuarai empat Piala Malaysia bersama tiga pasukan berbeza, akan digunakan oleh pemain veteran, Hairuddin Omar atau lebih dikenali sebagai Hai-O untuk mengulangi kejayaan, musim ini.

Malahan, ada segelintir peminat berkata, di mana ada Hai-O, pasukan itu akan menjulang Piala Malaysia selepas menyaksikan dia menjadi wira Negeri Sembilan untuk muncul juara tahun lalu.

Dua tahun sebelum itu, dia bersama Kelantan menjuarai Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan dan mengulanginya pada 2009. Dia juga meraih kejuaraan bersama Terengganu pada 2001.

Pada musim ini, dia memilih pula haluan ke Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan membantu menjuarai Liga Perdana baru-baru ini, Hairuddin enggan meramalkan peluang pasukan barunya sebaliknya lebih selesa menganggap ATM sebagai pasukan ‘underdog’.

”Cabaran yang saya bakal lalui kali ini mungkin berbeza, dan sukar untuk saya mengatakan ATM ada peluang menjuarai Piala Malaysia kerana pasukan lain tidak kurang hebatnya.

”Saya lihat sasaran paling realistik sekarang adalah sekurang-kurangnya ke suku akhir, bukannya tidak yakin tetapi mahu menumpukan pada saingan peringkat kumpulan terlebih dahulu yang dilihat begitu sukar, ” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Biarpun begitu, Hairuddin mengakui yang ATM mempunyai ramuan untuk pergi jauh dalam kejohanan kali ini memandangkan skuad kendalian B. Sathianathan itu menghimpunkan ramai pemain berpengalaman yang pernah merasai pentas kejayaan Piala Malaysia.

”Jika dilihat pasukan kami, ya..memang kami ada pemain yang mampu memberikan perbezaan kepada pasukan ini kerana mereka bukan asing dalam pentas Piala Malaysia.

”Namun, saya tidak mahu menganggap itu sebagai kelebihan kerana pasukan lain dalam Kumpulan B juga perlu dihormati kerana mempunyai ramai pemain yang bagus.”

Selain Hairuddin, antara nama-nama pemain ATM yang pernah merasai nikmat bergelar juara Piala Malaysia sebelum ini ialah seperti Aidil Zafuan Abdul Radzak, Zaquan Adha, Irwan Fadzli Idrus, Bruno Martellotto, Marlon Alex James dan Azmi Muslim.

Bakal memulakan cabaran menentang Kedah di Stadium Darul Aman pada hari raya keempat, Hairuddin berkata, dia tidak boleh terlalu bergembira menyambut lebaran kali ini kerana perlu menjaga pemakanan.




coded by nessus

Leave a Reply