TERTEKAN dengan gangguan dan campur tangan daripada individu tertentu dalam pengurusan menjadi faktor utama menyebabkan ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan, Wan Jamak Wak Hassan membuat keputusan untuk menghantar surat peletakan jawatan semalam.
Jurulatih berpengalaman dari Johor itu berkata beliau melepaskan jawatan kerana percaya bahawa pihak pengurusan lebih arif tentang pengurusan skuad ‘Hoben Jang Hoben’ itu berbanding beliau.
“Jurulatih mana sekalipun tidak akan membuat keputusan untuk meletak jawatan sebagai ketua jurulatih jika tidak berlaku sesuatu dalam pengurusan pasukan.
“Saya buat keputusan pun demi masa depan pasukan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Wan Jamak berkata beliau harap keputusannya meninggalkan pasukan tidak akan menjejaskan semangat pemain dalam menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim ini.
“Saya berpesan kepada pemain agar meneruskan perjuangan mereka bagi menjaga maruah dan nama baik diri sendiri dan pasukan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata jurulatih dalam sesebuah pasukan sentiasa bertukar namun pemain perlu kekal untuk terus mempertahankan nama baik pasukan.
Wan Jamak berkata beliau tidak bercadang untuk meninggalkan kerjaya sebagai jurulatih namun memerlukan sedikit masa sebelum menerima lamaran daripada mana-mana pasukan.
“Saya perlu fikirkan kepentingan keluarga sebelum menerima tawaran daripada mana-mana pasukan,” katanya.
Semalam, Wan Jamak menghantar surat peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih Negeri Sembilan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) susulan aksi hambar pasukan bimbingannya dalam saingan Liga Malaysia pada tahun ini.
Wan Jamak mula bersama pasukan Negeri Sembilan pada tahun 2008 dan berjaya membimbing pasukan tersebut menjulang Piala Malaysia pada 2009 dan Piala FA pada 2010. — BERNAMA
Main topics: Liga Super
Sub topics: Letak Jawatan, Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan