Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2014 dengan langkah kanan apabila menumpaskan KL SPA 1-0 dalam perlawanan Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, hari ini.
Anak-anak buah Dollah Salleh itu, yang bakal membuka tirai Liga Perdana dengan menentang Johor Darul Tazim II (JDT II), Jumaat ini memperoleh gol kemenangan menerusi penyerang import dari Maldives, Ali Ashfaq pada minit ke-72.
Kemenangan itu bagaimanapun terpaksa dibayar dengan harga tinggi oleh Dollah kerana dia bakal bertandang ke Johor tanpa tonggak pertahanan. Mohd. Muslim Ahmad, yang mengalami kecederaan selepas berlaga dengan Mohd. Rosdi Zakaria pada minit ke-78.
Sementara itu dalam perlawanan lain, Melaka gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tunduk 1-2 kepada Perlis di Stadium Hang Jebat, hari ini.
T-Team pula dipaksa berhempas pulas sebelum menundukkan kelab Liga Perdana, UiTM FC 3-2 di Stadium UiTM, Shah Alam.