Tuan rumah harungi saingan kumpulan dengan rekod tanpa kalah
REKOD tanpa kalah sepanjang saingan peringkat kumpulan membuktikan skuad kendalian Wan Jamak Wan Hasan dan harus meletakkan Negeri Sembilan memiliki kelebihan untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim ini.
Dengan gandingan pemain lama dan muda mula menampakkan hasil sekalipun tanpa kelibat penyerang Mohd Zaquan Adha Abd Radzak yang berehat enam bulan, Negeri Sembilan bergantung kepada usaha kolektif dalam setiap perlawanan.
Dan malam ini, Wan Jamak sekali lagi menuntut pemain meneruskan semangat perjuangan tinggi itu apabila turun berdepan Perlis dalam saingan suku akhir pertama, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.
Katanya, cabaran peringkat kalah mati lebih getir kerana semua pasukan yang mara sudah teruji dengan kekuatan tersendiri.
“Pemain Negeri Sembilan tidak boleh bersikap terlalu yakin mudah menang dan mengenepikan lawan kerana corak persembahan setiap pasukan akan berubah dan sedikit kesilapan pasti membawa padah.
“Yang penting, semua perlu fokus bagi memastikan jentera pasukan dapat berfungsi baik dan setiap gerakan disudahkan dengan jaringan,” katanya yang tidak menolak melakukan sedikit rombakan untuk melayani Singa Utara, semalam.
Katanya, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dalam timbal balik pertama itu, tidak harus disia-siakan, sebaliknya perlu dijadikan tapak untuk mencerahkan pasukan ke peringkat seterusnya.
Perlawanan Negeri Sembilan menentang Perlis malam ini akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Arena (Saluran 801) bermula jam 8.30 malam.
Tags: Astro Arena, Live Astro, Negeri Sembilan, Negeri Sembilan vs Perlis, Piala Malaysia 2010, Prebiu Suku Akhir
knape????????????n.9 ley kalah ngan johorrrr??????