Monday, 14/07/2014


USM FC benam juara Liga FAM 2009

Published on January 12, 2010 by   ·   No Comments

PASUKAN institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama menyertai saingan Liga Perdana Malaysia, Universiti Sains Malaysia FC (USM FC) membuka tirai liga dengan langkah kanan apabila membenam cabaran juara Liga FAM tahun lalu, Pos Malaysia FC 1-0 di Stadium USM Georgetown malam tadi.

Jaringan tunggal daripada penyerang licik, Mohamad Baser Mahamad Napae menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan apabila menanduk hantaran lintang cantik Muhammad Afzan Zainal Abidin pada minit ke-84, sekali gus memberikan kegembiraan kepada kira-kira 2,000 penyokong tuan rumah yang hadir memberikan sokongan.

Berbekalkan keazaman menuntut bela atas kekalahan dalam dua pertemuan dengan KL Pos Malaysia FC pada Liga FAM musim lalu, USM FC mengenakan tekanan bertali arus terhadap KL Pos Malaysia FC seawal minit ke-10 apabila Baser menguji kekentalan penjaga gawang lawan, Mohd Fadhullah Yusfisar dengan percubaan leret hasil lorongan cantik bekas pemain Liga Super Pulau Pinang, M Prakash.

USM FC terus menggandakan asakan pada separuh masa pertama apabila memperoleh dua hingga tiga peluang keemasan, namun gagal disempurnakan barisan hadapan USM FC yang kelihatan gugup di depan gawang.

USM FC sekali lagi hampir memecahkan kebuntuan jaringan pada penghujung separuh masa pertama apabila Baser berjaya menyempurnakan umpanan cantik daripada Muhammad Afzan dengan tandukan padu menerjah jaring KL Pos Malaysia FC, namun dibatalkan penjaga garisan akibat ‘offside’.

Perubahan rentak permainan berlaku di separuh masa kedua apabila KL Pos Malaysia seakan terjaga dari tidur dan mengasak USM FC dengan bertali arus sehingga membuka beberapa peluang keemasan yang gagal disempurnakan penyerang lawan.

Asakan demi asakan ke gawang tuan rumah hampir memberikan hasil kepada pasukan pelawat setelah sepakan leret pemain gantian, Mohd Khairul Zal Azmi pada minit ke-66 berjaya menewaskan benteng pertahanan dan penjaga gawang USM FC, namun dikecewakan dengan tiang gol sebelum diselamatkan pemain pertahanan lawan.

Kegelisahan 2,000 peminat dan Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak menantikan jaringan akhirnya berakhir apabila Baser menjadi wira dengan menanduk masuk hantaran lintang Afzan pada minit ke-84, sekali gus menamatkan sisa-sisa harapan KL Pos Malaysia FC untuk menyamakan kedudukan.

Ketua jurulatih USM FC, S Veloo berkata, beliau gembira anak buahnya berjaya mengatasi tekanan mental untuk memberikan tiga penuh penuh kepada USM FC, sekali gus menyuntik semangat bagi menghadapi perlawanan seterusnya dengan PDRM di Kuala Lumpur.

“Tiga mata penuh ini saya hadiahkan kepada pengurusan pasukan USM FC, pengurusan USM sendiri dan semua pemain saya kerana memberikan komitmen 100 peratus dalam memastikan perlawanan pertama menentang seterus lama kami, KL Pos Malaysia FC membawa kepada kemenangan.

“Saya berpuas hati dengan keseluruhan persembahan pasukan, bagaimanapun masih cuba untuk memperbaiki ketumpulan di bahagian serangan memandangkan saya masih belum menemui kesebelasan utama yang benar-benar serasi sejak mengambil alih pasukan pada dua minggu lalu,” katanya sewaktu ditemui pemberita selepas perlawanan, malam kelmarin.

Bagi ketua jurulatih KL Pos Malaysia FC, Lim Kok Onn pula, beliau berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan kesemua anak buahnya dalam perlawanan itu dan menganggap nasib tidak memihak kepada pasukannya.

“Keseluruhannya, pemain bermain mengikut perancangan yang direncanakan. Bagaimanapun, nasib tidak memihak kepada kami malam ini (kelmarin) dan kami akan terus berusaha untuk memperbaiki prestasi pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Dalam perlawanan seterusnya, USM FC akan bertandang ke Stadium Cheras untuk bertemu dengan PDRM pada Jumaat ini.




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News