PENDAHULU Liga Perdana, Felda United gagal mengutip tiga mata penuh apabila diikat 1-1 oleh Pos Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi.
Bagaimana pun keputusan seri itu masih meletakkan Felda United tiga mata mengatasi pasukan tangga kedua, PKNS FC yang merampas kedudukan itu daripada Sabah selepas membelasah Melaka 5-1.
Sekali pun beraksi di gelanggang sendiri, Felda United mempamer aksi hambar khasnya pada babak pertama.
Sebaik babak kedua bermula, pasukan pelawat tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila Muhd Zafran Olibullah menyepak masuk gol pertama perlawanan pada minit ke-51.
Berpunca dari lontaran ke dalam, Zafran merembat kencang bola dalam kotak penalti untuk menembusi gawang Felda United.
Ketinggalan satu gol, pasukan tuan rumah gagal memburu jaringan penyamaan sehinggalah masa sebenar perlawanan berbaki dua minit untuk ditamatkan apabila Saufi Ibrahim menerjah masuk bola selepas berlaku kekalutan dalam kotak penalti pasukan pelawat.
Tags: Felda United, Liga Perdana, Pos Malaysia