Vietnam vs Malaysia

vs
November 3, 2012
Score: 1 - 0

Match Report


Vietnam 1-0 Malaysia - 3 November 2012

Vietnam vs Malaysia | 3.11.2012

Full Time: Vietnam 1-0 Malaysia

Vietnam sekali lagi memberi amaran kepada pasukan kebangsaan bahawa mereka bersedia merampas Piala Suzuki AFF tahun ini apabila mencatat kemenangan 1-0 pada aksi persahabatan di Stadium My Dinh, Hanoi, semalam.

Ini adalah kekalahan kedua kepada lawan yang sama selepas tewas 0-2 semasa beraksi di Stadium Shah Alam, 11 September lalu.

Tinggal 21 hari lagi untuk sepak mula Piala Suzuki AFF 2012, namun Malaysia dilihat masih belum dapat menandingi pasukan kedua terbaik Asia Tenggara itu yang selesa dengan corak permainan pantas serta hantaran silang yang berbahaya.

Vietnam sebenarnya mampu untuk menjaringkan lebih daripada satu gol, namun ketangkasan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat berjaya menyelamatkan Harimau Malaya daripada menanggung kekalahan yang lebih besar.

Skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal masih mempunyai sedikit masa memperkemaskan corak permainan terutama sekali menjelang dua lagi perlawanan persahabatan bertemu Thailand pada Rabu ini di Chiang Mai dan Hong Kong pada 14 November di Stadium Shah Alam.

Malaysia, yang sebelum ini memberikan sedikit sinar harapan apabila berjaya menewaskan Hong Kong 3-0 dalam aksi persahabatan 16 Oktober lalu di Mong Kok, dihukum dengan jaringan tunggal pemain Vietnam pada minit ke-74 melalui Nguyen Trong Hoang.

Gol tersebut berpunca daripada hantaran silang Nguyen Ngoc Duy menuju ke arah petak penalti, namun gagal disambut Nguyen Van Quyet yang hanya berdepan dengan Khairul Fahmi sebelum Trong Hoang yang tidak dikawal mudah merobek gawang Malaysia.

Gandingan Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha dilihat kurang menyerlah sehingga memaksa Rajagobal melakukan pertukaran pada separuh masa kedua dengan memasukkan Baddrol Bakhtiar dan Zaquan Adha Abd. Radzak.

Bagaimanapun, usaha mencari gol penyamaan turut menemui jalan buntu tatkala beberapa pemain lain seperti Mahali Jasuli, S. Kunanlan dan Wan Zack Haikal Wan Nor menunjukkan aksi yang memberangsangkan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Singapura dan Laos, sementara Vietnam yang menduduki ranking ke-140 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berada dalam Kumpulan A bersama Thailand, Filipina dan Myanmar.

Home

Subs

Away

2. Mahalli Jasuli
7. Aidil Zafuan Abd Radzak
8. Safiq Rahim (C)
9. Norshahrul Idlan Talaha
10. Mohd Safee Sali
12. Amar Rohidan
16. S Kunanlan
17. Azammuddin Mohd Akil
20. Muhammad Zubir Azmi
22. Khairul Fahmi Che Mat (GK)
25. Wan Zack Haikal
Subs
17. Zaquan Adha Abd Radzak
23. Baddrol Bakhtiar
27. Mohamad Fadhli Shas