Kelantan pukau JDT

Kelantan 6-1 JDT Johor Piala Malaysia 2013
Kelantan 6-1 Johor JDT | Piala Malaysia 2013

SELEPAS tewas 4-2, pada suku akhir pertama Piala Malaysia, juara bertahan, Kelantan melepaskan geram di gelanggang keramat mereka, Stadium Stadium Sultan Muhammad IV, apabila berpesta gol membenam Johor Darul Takzim (JDT) 6-1, sekali gus layak ke separuh akhir dengan agregat 8-5, di Kota Bharu, malam tadi.

Kelantan yang hanya perlukan kemenangan 2-0 untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir ternyata bersemangat memburu jaringan apabila terus mengasak kubu JDT sebaik permainan dimulakan.

Kelantan mendahului perlawanan pada Minit ke-19, apabila Mohd Norfarhan Mohamad yang mendapat hantaran daripada Dickson Nwakaeme di dalam kotak penalti membuat rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol JDT, Zulfadli Mohamad.

Video Kelantan 6-1 JDT

Stadium Sultan Muhammad IV sekali lagi bergema dengan sorakan kira-kira 25,000 penyokong The Red Warriors (TRW) apabila hantaran lintang Mohd Norfarhan tepat kepada ketua pasukan Mohd Badhri Radzi yang merembat dari sudut sukar untuk gol kedua dan menyamakan agregat 4-4.

Bagaimanapun, pada minit ke-42, penyokong Kelantan terdiam seketika apabila Safee Sali bijak menolak masuk gol pertama JDT selepas berlaku salah faham di antara Azizi Mat Rose dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Namun, dua minit kemudian penyokong Kelantan kembali ceria apabila Zulfadli gagal menangkap kemas bola sepakan percuma Indra Putra yang membolehkan Nwakaeme membuat kuisan di hadapan pintu gol kepada Obinna Nwaneri yang mudah menolak masuk untuk gol ketiga pasukan tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Kelantan tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila Nwakaeme bijak menanduk masuk bola tendangan Indra Putra di dalam kotak penalti.

Anak buah Bojan Hodak ternyata belum puas apabila Mohd Norfarhan yang menerima hantaran daripada Indra Putra merembat leret menewaskan Zulfadli pada minit ke-62 untuk gol kelima Kelantan.

Minit ke-89, Indra Putra menambah derita pelawat apabila bijak merembat masuk gol keenam Kelantan selepas berlaku kelam kabut di dalam kotak penalti JDT.

Sementara itu di Stadium Negeri, Sarawak berjaya menewaskan Sime Darby 3-1 untuk mara ke separuh akhir selepas seri tanpa jaringan di tempat lawan pada suku akhir pertama.

Pada aksi separuh akhir nanti, Kelantan akan berentap dengan finalis musim lalu, ATM.

Sementara Sarawak akan bertemu Pahang dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Separuh akhir pertama akan berlangsung pada 18 dan 19 September manakala aksi timbal balik akan berlangsung seminggu kemudian.




coded by nessus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>