Perancis, Uruguay sekadar berkongsi mata
June 12, 2010 by admin
PERSAINGAN Kumpulan A tampak seimbang buat semua pasukan apabila finalis 2006, Perancis diikat dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi di Stadium Green Point, Cape Town awal pagi tadi.
Kedua-dua pasukan berpeluang untuk memecah kebuntuan jaringan namun ketangkasan penjaga gol di samping penyudah tumpul menyaksikan tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan.
Pemain tengah Perancis, Yoann Gourcuff dan pemain sayap, Franck Ribery mempamer gandingan mantap untuk mencipta beberapa asakan bermakna pada awal permainan, tetapi gagal menembusi gawang Uruguay.
Uruguay pula beberapa kali nyaris mendapat jaringan menerusi serangan mengejut terutama menerusi penyerangnya, Diego Forlan.
Perancis beroleh sedikit kelebihan pada 10 minit terakhir apabila pemain Uruguay, Nicolas Lodeiro diarah keluar padang kerana menerima dua kad kuning selepas mengasari pertahanan Perancis, Bacary Sagna.
Lodeiro adalah pemain pertama di Piala Dunia Afrika Selatan menerima kad merah.
Kemasukan Thierry Henry menggantikan Nicolas Anelka juga turut gagal mengubah nasib Perancis yang terpaksa berpuashati untuk berkongsi mata dengan Uruguay.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A malam tadi, tuan rumah Afrika Selatan mengikat Mexico 1-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Soccer City.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!