Prebiu: Chile vs Sepanyol

June 25, 2010 by  

CHILE mungkin menjadi penghalang kepada harapan tinggi Sepanyol untuk mengesahkan tiket ke pusingan kedua Piala Dunia apabila kedua-duanya bertemu pada perlawanan terakhir Kumpulan H, awal pagi esok.

Selaku juara Eropah, Sepanyol memerlukan kemenangan pada pertemuan tersebut untuk meneruskan impian mereka menjuarai Piala Dunia 2010.

Ketika mana Switzerland dan Honduras masih berpeluang untuk menempatkan diri dalam saingan 16 pasukan terbaik, Sepanyol menyedari perlawanan esok adalah masa terbaik untuk mengukuhkan tanggapan orang ramai bahawa mereka pasukan juara.

Jika ia tidak dapat dilaksanakan, mereka mungkin berpotensi untuk pulang awal.

“Bagi kami, ia satu yang jelas untuk dilaksanakan. Pasukan ini perlu menundukkan Chile. Pasukan ini telah mempunyai idea jelas bagi melaksanakan apa yang perlu dilakukan.

“Malah, kami juga berkeyakinan untuk mara ke pusingan seterusnya. Tidak ada apa yang lebih penting daripada misi ini,” kata pemain tengah Sepanyol, Andres Iniesta yang boleh beraksi untuk perlawanan peringkat kumpulan terakhir tersebut.

Pemain lincah Barcelona itu sebelum ini tidak dapat beraksi dalam dua perlawanan peringkat kumpulan kerana kecederaan kaki kanan.

Sama ada pasukan pilihan juara Piala Dunia itu tersingkir, terlalu berkeyakinan atau melakukan perubahan taktikal, Sepanyol seakan gagal untuk memanipulasi permainan cantik ketika menjuarai Kejohanan Eropah, dua tahun lalu.

Meskipun mampu mendominasi aksi lawan, Sepanyol hanya mampu menggegar jaring sebanyak dua kali menerusi David Villa ketika skuad kebangsaan itu menundukkan Honduras 2-0.

Switzerland melakukan kejutan ke atas Sepanyol apabila mencatat kemenangan 1-0 pada perlawanan pertama masing-masing.

Kekalahan tersebut menimbulkan persoalan mengenai keupayaan pemain yang seringkali mendapat kepercayaan jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque.

Jurulatih skuad Sepanyol itu lebih berminat menurunkan pemain seperti Sergio Busquets dan Xabi Alonso, berbanding menggunakan khidmat Cesc Fabregas serta David Silva.

***

JUARA Eropah, Sepanyol amat memerlukan kemenangan ke atas Chile, awal pagi esok untuk terus memastikan kemaraan ketika barisan elit - Brazil atau musuh tradisi, Portugal hampir pasti menjadi lawan mereka jika mara ke pusingan kedua.

Sepanyol perlu menewaskan Chile untuk mengesahkan tempat dan tangga teratas kumpulan, tetapi dalam masa sama perlu mengharapkan Switzerland yang mencipta kejutan dengan kemenangan 1-0 ke atas mereka dalam perlawanan pembukaan Kumpulan H, tidak dapat memintas dari segi kelebihan jaringan apabila bertemu Honduras.

“Kami masih perlu menewaskan Chile, kata bintang Sepanyol,” David Villa. “Laluan masih jauh sebelum kami boleh memikirkan untuk menjadi juara dunia, baik dari segi masa mahupun perlawanan.”

Dua pasukan yang layak daripada Kumpulan H akan berdepan dengan Brazil atau Portugal yang hampir pasti layak pada perlawanan pusingan kedua nanti.

Kekalahan kepada Switzerland menjejaskan tanggapan terhadap kegagahan Sepanyol itu, namun kemenangan 2-0 ke atas Honduras serta jaringan dua gol Villa yang baru menandatangani kontrak menyertai Barcelona, mungkin dapat mengubah tanggapan itu.

Namun, jika tewas kepada Chile di Loftus Versfeld, ia mungkin menyebabkan Sepanyol terpaksa pulang lebih awal.

Kami perlu bersedia menghadapi tekanan perlawanan besar menentang Chile, kata jurulatih Vicente Del Bosque. Namun, barisan pemain sudah biasa berdepan dengan tekanan dan bagi mereka, ia hanyalah seperti perlawanan lain dalam satu musim yang sibuk.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!