Prebiu: Perancis vs Afrika Selatan

June 22, 2010 by  

TUAN rumah, Afrika Selatan akan membuat perhitungan dengan naib juara Piala Dunia 2006, Perancis pada aksi terakhir Kumpulan A malam ini dengan maruah negara masing-masing menjadi pertaruhan.

Kedua-dua pasukan masih gagal mencatat sebarang kemenangan selepas dua perlawanan dan peluang mereka untuk layak ke pusingan kedua nampak sangat tipis.

Afrika Selatan tewas 0-3 kepada Uruguay pada aksi kedua awal pagi Khamis lalu, sekali gus berdepan kemungkinan menjadi negara tuan rumah pertama tersingkir seawal saingan peringkat kumpulan.

Namun, berbanding masalah yang dihadapi skuad Bafana Bafana itu, skuad Perancis pula mempunyai masalah yang lebih besar dalam pasukan mereka.

Seri tanpa jaringan dengan Uruguay serta tewas 0-2 kepada Mexico ditambah pula penyerang, Nicolas Anelka dihantar pulang selepas mengkritik jurulatih, Raymond Domenech, para pemain Perancis yang lain telah memboikot sesi latihan mereka kelmarin sebagai tanda protes.

“Saya rasa sedih. Kami berada dalam situasi genting selepas tewas kepada Mexico dan kini kehilangan pula Anelka.

“Kami dibarisi pemain bertaraf dunia tetapi tidak layak ke pusingan kedua. Ia pasti tidak boleh diterima,” kata kapten Perancis, Patrice Evra.

Perancis dan Afrika Selatan perlu menang untuk layak ke pusingan kedua dengan syarat Mexico dan Uruguay tidak mencatat keputusan seri dalam satu lagi perlawanan.

Sementara itu, penyerang Afrika Selatan, Teko Modise menegaskan bahawa semangat mereka tetap tinggi biarpun selepas kekalahan kepada Uruguay.

“Bagi kami ia merupakan penghormatan, kami memang mahu menang,” kata Modise.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!