Profil Pasukan: Mexico
June 1, 2010 by admin
SKUAD yang dikenali sebagai El Tri itu merupakan pasukan kedua yang menamatkan saingan di tempat kedua bagi zon CONCACAF, ketinggalan satu mata di belakang Amerika Syaikat (AS) selepas terikat 2-2 dengan Trinidad dan Tobago.
Kini, di bawah kendalian Pengurus Javier Aguirre, pasukan itu tampil dengan imej baru dan mempunyai misi tersendiri untuk menempah tiket ke pusingan separuh akhir buat pertama kalinya pada kempen Piala Dunia 2010.
Selepas kecewa kerana sering kali tersingkir pada pusingan awal dalam beberapa edisi Piala Dunia sebelum ini, Mexico tidak mahu mengulangi skrip yang sama pada kempen di Afrika Selatan.
Dengan dibarisi beberapa pemain berstatus bintang, skuad yang digelar El Tri itu berazam mencipta kejutan di bumi Afrika nanti. Kini di bawah bimbingan Javier Aguirre, Mexico tampil dengan imej baru.
Mengimbas kembali perjalanan karier Aguirre sebelum bergelar jurulatih skuad kebangsaan Mexico, beliau menyarung jersi beberapa kelab Mexico dan Sepanyol ketika bergelar pemain.
Aguirre yang dilabel antara pemain tengah serba boleh, pernah beraksi bersama Club America, Los Angeles Aztecs, Atlante, Osasuna dan Guadalajara.
Kehebatan Aguirre sebagai perancang telah membolehkan beliau dipanggil untuk menyarung jersi skuad kebangsaan Mexico bermula pada tahun 1983 hingga 1992.
Sepanjang beraksi bersama skuad El Tri itu, beliau telah membuat 59 penampilan termasuk ketika membantu Mexico layak ke peringkat suku akhir Piala Dunia 1986.
Selepas mengumumkan hasrat untuk bersara sebagai pemain bola sepak, Aguirre telah dilamar oleh Atlante bagi membimbing kelab Sepanyol itu sebagai jurulatih.
Hanya setahun bersama Atlante, beliau memilih untuk beralih arah apabila bersetuju membimbing CF Pachuca sehingga berjaya membawa kelab tersebut menjuarai gelaran domestik pada 1999.
Kejayaan demi kejayaan yang dicipta Aguirre telah membuatkan dirinya menjadi perhatian kelab-kelab gergasi Eropah lain.
Kemuncak kepada karier Aguirre apabila beliau dilantik sebagai jurulatih Mexico pada 2001 bagi menggantikan tempat Enrique Meza yang dipecat ekoran prestasi hambar skuad kendaliannya.
Baru sahaja setahun memegang teraju dalam skuad kebangsaan Mexico, Aguirre telah membuktikan kewibawaannya.
Beliau berjaya membimbing Mexico untuk mara ke final Copa Amerika pada 2001.
Bagaimanapun, skuad kendalian Aguirre gagal mencita kejutan apabila sekadar mampu muncul naib juara selepas tewas 0-1 kepada Colombia.
Percaturan Aguirre terhadap barisan pemain pada masa itu benar-benar menjadi apabila Mexico mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2002.
Biarpun, pencapaian Aguirre itu boleh dianggap cemerlang, namun beliau ditimpa malang apabila dipecat dan tempatnya diambil alih oleh jurulatih dari Argentina, Ricardo la Volpe.
Pemecatan tersebut sedikit pun tidak melunturkan semangat Aguirre untuk terus bergelar jurulatih.
Tidak lama selepas dipecat, Aguirre telah mendapat tawaran menjadi jurulatih kelab Sepanyol, Osasuna pada tahun 2002 hingga 2006.
Aguirre membuktikan kepada Persatuan Bola Sepak Mexico (FA) bahawa keputusan badan induk itu memecatnya adalah silap.
Beliau berjaya menyelamatkan Osasuna daripada tersingkir dalam saingan Liga Sepanyol sekalipun ketika mula membimbing kelab itu, Osasuna hampir terjerumus ke zon penyingkiran.
Selepas tamat kontrak bersama Osasuna, Atletico Madrid pula menjadi destinasi seterusnya bagi jurulatih yang dikenali dengan gelaran El Vasco ini dalam arena bola sepak.
Kali ini, kewibawaan Aguirre selaku jurulatih benar-benar teruji apabila beliau diberikan sasaran untuk membawa Atletico kembali layak bersaing dalam saingan Eropah.
Cabaran tersebut disahut dengan penuh keyakinan dan hasilnya, Atletico berjaya layak ke saingan Piala UEFA (kini dikenali sebagai Liga Europa) pada tahun pertama Aguirre membimbing kelab tersebut.
Musim kedua Aguirre bersama Atletico, beliau diberikan pula tugas yang lebih mencabar apabila perlu membimbing kelab itu layak ke saingan Liga Juara- Juara.
Namun, belum sempat menghabiskan tugasannya, Aguirre telah dipecat atas alasan kelab itu masih belum memenangi apa-apa gelaran pada 2008.
Berita pemecatan Aguirre telah tersebar luas dan ia sekali gus memberi peluang buat FA Mexico untuk melamar jurulatih tersebut sekali lagi bagi menggantikan Sven-Goran Eriksson.
Di bawah kendalian Eriksson, Mexico dilihat sering kali mempamerkan persembahan hambar dalam beberapa kejohanan antarabangsa.
Tanggal 16 April 2009 merupakan detik bersejarah buat Aguirre apabila beliau secara rasminya dilantik sebagai jurulatih Mexico yang baru.
Cabaran getir menanti Aguirre setelah menandatangani kontrak bagi membimbing Mexico apabila beliau perlu memastikan pasukan tersebut layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Dalam satu majlis menandatangani kontrak sebagai jurulatih Mexico, Aguirre telah menegaskan bahawa hanya pemain-pemain yang benar layak sahaja akan dipanggil untuk menyarung jersi skuad kebangsaan itu.
“Sesiapa yang akan dipanggil nanti perlu ada semangat untuk beraksi buat negara mereka, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
“Jika anda tidak mempunyai ciri-ciri seperti itu, lupakan sahaja hasrat untuk menyarung jersi skuad Mexico. Saya tidak memerlukan pemain yang hanya sekadar mahu beraksi untuk bermegah-megah,” tegas Aguirre.
Ketegasan yang ditunjukkan Aguirre itu jelas menjadi apabila Mexico berjaya melonjak dari tangga kelima ke tangga kedua pada saingan kelayakan Piala Dunia 2010 bagi Zon Amerika Utara (CONCACAF).
Di bawah kendalian Aguirre dengan memenangi lima perlawanan, satu seri dan tewas sekali seterusnya menyaksikan Mexico mara ke pusingan akhir Piala Dunia 2010.
Situasi itu dianggap tonik terbaik bagi Aguirre untuk mengembalikan semula kegemilangan skuad Mexico yang dahulunya pernah tergolong dalam senarai pasukan yang digeruni pada kempen Piala Dunia. (LAGI INFO/PROFIL/SENARAI PEMAIN PASUKAN MEXICO)
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!