Prebiu: Mexico vs Uruguay

June 22, 2010 by  

MEXICO dan Uruguay hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke pusingan kedua apabila kedua-dua pasukan itu bertemu pada aksi terakhir Kumpulan A malam ini.

Selepas dua perlawanan, Mexico dan Uruguay menguasai saingan kumpulan tersebut dengan empat mata manakala Afrika Selatan dan Perancis hanya memungut satu mata.

Jika Mexico dan Uruguay seri pada malam ini, apa juga keputusan dalam satu lagi perlawanan membabitkan Afrika Selatan dan Perancis tidak akan membawa makna kepada kedua-dua pasukan itu.

Jurulatih Mexico, Javier Aguirre yang sebelum ini menggunakan formasi menyerang 4-3-3 masih memikirkan siapa yang bakal diturunkannya untuk mengetuai jentera serangan.

Selain Javier Hernandez, Aguirre mungkin akan memilih Pablo Barrera yang masuk menggantikan Carlos Vela yang cedera pada perlawanan menentang Perancis.

“Saya gembira kerana ini aksi Piala Dunia pertama saya. Saya tampil perlawanan pertama dan pasukan kami mencatat kemenangan.

“Walaupun hanya memerlukan seri, kami akan turun dengan memburu tiga mata penuh supaya memastikan kami layak. Kami sentiasa perlu lakukan yang terbaik pada setiap perlawanan,” kata Barrera.

Namun jika seri, Mexico yang memiliki kurang perbezaan gol berbanding Uruguay hanya akan menduduki tangga kedua Kumpulan A dan berkemungkinan besar akan bertemu Argentina dari Kumpulan B pada pusingan kedua nanti.

Bagi pemain pertahanan Uruguay, Diego Godin, Mexico tetap sebuah pasukan yang kuat.

“Mexico bakal menjadi lawan yang sukar, sama seperti pasukan lain dalam Piala Dunia ini. Mereka beraksi dengan baik tetapi kami juga memiliki senjata untuk menundukkan mereka,” kata Godin.

Uruguay masih belum dibolosi selepas dua perlawanan apabila mereka terikat tanpa jaringan dengan Perancis pada perlawanan pertama dan membenam Afrika Selatan 3-0 pada aksi kedua.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!